37

27.9K 2.4K 481
                                    

"ASSALAMUALAIKUM!" Orkid melaung salam dari luar rumah. Lihat pintu utama terbuka. Sudah tentu Husna dan Lanun ada di dalam. Seminit juga dia tunggu tuan rumah menyapa kedatangannya. Sementara itu, sempat Orkid berpaling memandang sekeliling. Tercari-cari kelibat mereka. Manalah tahu pergi keluar ke mana-mana dan baru balik. Tetapi kasut dan selipar Husna ada di depan tangga. Pelik juga, selalunya waktu sekarang Husna akan duduk di beranda kerana kepanasan terkurung di dalam rumah. Namun, tidak pula hari ini.

"Oh, Orkid rupanya..." muncul juga Lanun di muka pintu. Dia langsung melangkah ke beranda sambil sebelah tangan sibuk melipat lengan T shirt panjang itu hingga ke paras siku.

Orkid tersenyum manis. Lelaki itu nampak segak lain macam hari ini. Walaupun pemakaian dia biasa-biasa saja, cuma T shirt kelabu dikenakan bersama seluar slack hitam. Lengan panjang yang sengaja dilipat, menampakkan lengan dia yang berurat. Dan seperti biasa, jika tidak penutup mata yang dipakai, pasti cermin mata hitam menjadi pengganti. Lihat dari gaya macam nak turun ke laut sekejap.

"Baguslah Orkid sampai. Alang-alang itu... boleh sa minta tolong sedikit?" Soal Lanun, siap melipat lengan baju kemudian wajah diangkat memandang Orkid yang tercegat di hadapan tangga rumah. Tangan mencekak pinggang.

"Ko mau sa tolong apa?" Soal berbalas soalan. Kening Orkid berkerut menanti balasan Lelaki itu.

"Jagakan Husna sekejap. Sa mau turun ke laut. Petang nanti sa balik. Di dapur ada bahan untuk memasak. Kalo buli (boleh) kau masaklah untuk makan petang dia sekali. Nanti sa beri kau upah."

Orkid angguk kepala. Boleh saja, tiada masalah. Dia pun tiada kerja hendak dibuat. Boleh melepak di rumah Lanun lama sedikit. Lagipun, ada jemputan kenduri dari orang kampung yang perlu disampaikan kepada Husna.

"Buli, bah. Sa endak ada masalah. Sekarang juga bah sa jaga dia!" Pantas Orkid menanggalkan selipar, bersiap untuk masuk ke dalam rumah. Namun, suara Lanun yang menyambung buatkan kakinya berhenti ditangga buat seketika.

"Tapi..." kali ini anak mata Hazel milik Lanun mengecil. Merenungnya dengan tajam.

"Jangan sesekali buat ikatan tali dia. Tunggu sampai sa balik."

"Ko ikat dia? Kenapa?!" Orkid agak terkejut. Tidak pernah dalam sejarah dia mendengar Lanun mengikat manusia. Lainlah jika orang itu penyamun yang terlepas masuk ke kampung. Tetapi ini seorang wanita, Husna pula tu! Masalah apalah yang dia buat sehingga diikat.

"Ko tanyalah dia sendiri." Acuh tak acuh sahaja Lanun menjawab. Sempat dia menjeling ke belakang, memandang Husna yang berada di dalam rumah dengan muka masam mencuka. Tidak mahu lewat tiba di Resort, lantas Lanun menuruni anak tangga. Menyarung kasut.

"Sa pergi dulu. Ingat! Jangan buka tali dia." Sekali lagi Lanun memesan. Lebih ditekan.

Orkid hanya mampu mengangguk tanda menurut arahan. Setelah Lanun melangkah pergi ke bot, langsung Orkid berlari masuk ke dalam rumah usai selipar ditanggalkan. Terbeliak biji matanya dek terkejut melihat tubuh Husna yang terikat. Wanita itu hanya bersandar di dinding sambil kepala terdongak keatas. Mungkin sedang memikirkan sampai bila dia harus dalam keadaan begitu. Mr Pirate itu memang tak ada belas kasihan langsung terhadapnya!

Sebaik sahaja kepala Husna kembali tertunduk, anak mata beralih ke arah Orkid yang tercegat dipintu. Dia sedikit tersentak. Tak perasan bila Orkid tiba.

"Ya Tuhan, apa sudah jadi sama kau?" Terus Orkid berlari ke arah Husna, duduk bersila di hadapan wanita itu. Menanti cerita dari mulut Husna sendiri. Dan kemudian anak mata hitam Husna naik ke atas bersama jelingan meluat. Husna menghembus nafas.

"Tanya saya kenapa? Tanyalah si Mr Pirate itu sendiri. Dia yang ikat saya. Dasar manusia tiada hati perut!" Dingin Husna berkata. Sempat lagi dia menyelit sindiran. Alang-alang lelaki itu tiada dirumah, bolehlah dia mengutuk sepuas-puasnya. Andai tubuh dan tangannya tidak terikat, memang nak dicarik-carik rambut putih itu seperti carik bulu ayam.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now