78

38.8K 3.7K 1K
                                    

                   SUDAH lama dia tak rasa duduk di atas kerusi berjam-jam menyiapkan tugasan, bahu dan leher dah terasa lenguh. Jari-jemari hampir naik kebas dek kerana tak berhenti menaip di atas papan kekunci. Setelah kerjanya sudah siap, barulah Raf bersandar ke belakang.  Merehatkan dirinya sebentar. Sesekali tangan kanan bergerak ke belakang leher, gosok-gosok sedikit agar lenguhnya hilang.

Kerusi dipusingkan ke belakang, menghadap ke arah cermin besar yang menampakkan pemandangan di luar yang sudah gelap. Bangunan-bangunan mencucuk langit hanya menampakkan cahaya disetiap tingkatnya sahaja. Kenderaan di jalan raya bawah sana pun tidak sesak seperti waktu petang.

Nyatanya memang dah lewat sangat. Dia pun seharusnya balik ke rumah sekarang.

Tok! Tok! Tok!

Kedengaran pintu diketuk beberapa kali sebelum dikuak. Seraya Raf kembali memusing kerusinya ke hadapan, memandang Mia yang berdiri di pintu.

Wanita itu terpempan sejenak tatkala mata mereka bertembung.

"Cantik mata bos." Puji Mia. Bibirnya tersengih-sengih. 

Cepat-cepat Raf melarikan pandangannya ke lain apabila tersedar kaca matanya berada di atas meja. Kemudian, dia buat-buat berdehem membetulkan suara.

"Ada apa?" Tanya Raf, kertas-kertas kerja yang bersepah di atas meja dikumpulkan sebelum diletakkan di satu sudut. Kemas.

"Tak ada apa-apa. Sajalah saya nak beritahu bos yang saya dah nak balik.  Bos tak nak balik ke? Sebab kalau bos nak stay sini, saya pun kena duduk sini. Manalah tahu nanti bos perlukan saya?"

"Eh, tak perlu. Saya pun dah nak balik ni. Tinggal nak kemas aje." Balasnya.

Kepala Mia mengangguk faham.

"Kalau macam itu... saya balik dulu ek? Selamat malam, bos!" Ucap Mia, setelah memastikan bosnya tidak berkata apa-apa dan sekadar anggukkan kepala. Lantas, Mia mengatur langkah pergi.

Kini tingkat 60 sunyi sepi. Suram, hanya ada beberapa lampu sahaja sengaja dibiarkan terbuka.

Raf langsung bangun daripada kerusi. Beg hitamnya dicapai, lampu yang berada di atas meja dimatikan sebelum langkah disusun keluar daripada bilik kerjanya. Terus menuju ke arah lif berhampiran. 

Butang ditekan.

Sementara menunggu pintu terbuka, telefon canggih dikeluarkan daripada kocek seluarnya. Nama 'Ashraf' ditekan lalu didekatkan ke telinga.

"Ashraf, tunggu di lobi. Lagi lima minit sa sampai sana."

"Baik, Tuan." Suara di corong speaker itu menyahut. Kemudian, talian dimatikan. Serentak itu pintu lif terbuka. Tanpa menunggu lama, Raf terus melangkah masuk. Membawanya turun menuju ke tingkat lobi.

Ting!

Pintu terbuka.

Raf keluar. Dia berjalan sambil kepala tunduk melihat telefon. Periksa sama ada mesej-mesej penting daripada papa. Tiada. Telefon disimpan. Wajah diangkat, pintu kaca itu automatik bergerak membuka laluan apabila Raf tiba, sekilas anak mata ditebarkan ke tepi. Semerta langkah terpasung ditengah-tengah pintu apabila menangkap figura wanita beruniform cleaner biru di sebelah kanan sana.

Kening tebalnya berkerut pelik. Sekejap dia tunduk melihat jam di pergelangan tangan. Sepatutnya semua pekerja dah balik waktu ini. Apa pula dia buat sorang-sorang di situ?

Niat Raf yang tadinya mahu terus ke kereta dilupakan, malah beralih arah mendapatkan wanita yang sedang mengelap cermin besar itu. Apabila jarak semakin dekat, baru dia perasan susuk tubuh yang membelakanginya itu adalah...

MR PIRATEWhere stories live. Discover now