CHAPTER 4- MENARA HIJAU

13.2K 648 31
                                    

Tersergam indah menara hijau yang berdiri sendiri di dalam hutan yang tebal ini. Aku memandang kanan dan kiri, tiada satu pun rumah yang kelihatan kecuali menara itu.

Tiada pilihan lain, aku terus berlari menuju ke menara itu. Pintu menara aku ketuk kuat apabila ketukan perlahan aku tidak disambut.

"Siapa?" soal satu suara dari dalam menara. Aku menelan air liur tatkala hatiku semakin berdebar mendengar suara garau di balik pintu. Entah siapa si pemilik menara ini. Apakah orang baik? Atau jahat?

"Manusia?" sesosok lelaki tanpa baju dan hanya memakai seluar muncul di muka pintu. Dia menyoal kepadaku bersama kerutan di dahi yang menebal. Aku turut mengerutkan dahi seraya mengecilkan mata. Kalau dia pelik kenapa aku boleh berada di sini, aku lagi pelik bertambah aneh kenapa dia membahasakan diriku 'manusia'.

"Tolong saya..." ucapku perlahan bersama nafas yang masih termengah-mengah.

Kepalaku semakin terasa berat, ibarat dihempap batu yang besar. Pandangan mataku pula semakin kabur dan aku tidak mampu mengawal kestabilan tubuh. Akhirnya aku rebah di hadapan pintu menaranya.

Dalam keadaan separuh sedar, aku rasakan yang diriku seperti disambut oleh sepasang tangan yang besar. Tubuhku seperti di angkat dan diletakkan di atas sesuatu yang lembut. Mungkin tilam. Selepas itu, aku langsung tidak sedarkan diri.

🐝🐝🐝

Terpisat-pisat aku membuka mata untuk bangun. Kepala masih lagi terasa berat dan pandanganku kabur. Sesuatu yang menempel di dahi aku capai dan aku lihat, ianya kain basah yang dilipat-lipat dan diletakkan di dahiku. Aku berusaha untuk bangun.

"Jangan bangun. Kau masih demam," satu tangan menahan bahuku dari terus bangun. Aku melihat kepada pemilik tangan itu. Ya, dia lelaki yang aku jumpa di menara hijau tadi.

"Saya... Kat mana?" soalku tersekat-sekat.

"Kau ada di rumahku. Jangan risau, kau aman di sini," katanya lalu duduk di sampingku.

Aku memandang sekeliling. Ya, aku sudah berada di dalam rumahnya. Di tepi katil tempat aku berbaring, terdapat sebuah meja yang di atasnya banyak botol-botol dan mangkuk-mangkuk serta bunga-bunga dan daun-daun bersepah-sepah. Ada juga semangkuk makanan yang aku fikir mungkin isinya adalah bubur.

Di tepi satu sudut yang lain, terdapat para-para yang mempunyai unggun api kecil dan ada periuk besar di atasnya. Mungkin itu tempat memasak. Di sisi yang lain pula, ada beberapa almari kayu dan kerusi serta meja untuk beberapa orang duduk. Malah, di satu sudut yang lain, terdapat tangga yang menuju ke tingkat atas.

Rumah itu tidaklah sebesar mana. Ia berbentuk astakona dan mungkin hanya boleh muat 20 orang dalam satu masa. Besarnya seperti ruang tamu tetapi terdapat ruang tidur, ruang tamu dan dapur untuk memasak.

"Nah, minum air ini dahulu," katanya lalu menyua cawan ke bibirku. Sebelah tangannya menongkat tubuhku supaya bangun sedikit dari berbaring.

"Kau mahu makan?"

Aku menggelengkan kepala. Memang aku tak berselera langsung waktu itu. Satu badan aku semua sakit-sakit. Kesan gigitan di leherku dan luka-luka akibat cakaran dari si pontianak masih lagi terasa peritnya.

"Dari mana kau datang?" soalnya dingin. Tangannya mencapai kain di atas dahiku. Kain itu dicelupkan ke dalam mangkuk besar berisi air dan beberapa helai daun dan diperah sedikit sebelum dilipat semula menjadi segi empat dan diletakkan ke dahiku.

"Tadi... Masa saya kat bilik asrama, kawan sebilik saya berubah menjadi pontianak tiba-tiba. Dia kejar saya sampai dalam hutan. Lepas tu, saya sesat. Saya tak tahu nak balik macam mana," jawabku panjang lebar.

"Jadi kau budak yang belajar di universiti itu?"

"Ya, saya belajar di universiti dekat-dekat sini."

Dia mengambil beberapa bunga dan daun lalu digiling di atas penggiling. Ditambah beberapa sudu cecair yang dia ambil dari beberapa jenis botol dan mangkuk. Aku mengerutkan dahi.

"Awak buat apa tu?"

Lelaki itu hanya terdiam. Dia hanya khusyuk melakukan kerjanya. Aku yang terbaring hanya melihat tingkahnya itu.

"Duduk. Aku nak tukar balutan di leher kau tu," katanya. Aku yang masih lagi lemah dibantu olehnya untuk duduk dan bersandar di birai katil.

Perlahan-lahan dia membuka balutan putih yang membaluti leherku. Darah masih lagi mengalir dari kesan gigitan pontianak tadi. Mungkin kerana gigitannya terlalu dalam atau terkena pada mana-mana salur darah yang penting. Kerana itu darahku susah hendak berhenti. Selepas itu, dia membersihkan darah yang mengalir dari leherku. Aku berganjak sedikit kerana terlalu sakit dan nyeri apabila terkena kain.

"Tak payahlah. Biar saya buat sendiri," ucapku. Dia merenungku dingin lantas jari telunjukknya diletakkan ke bibirnya, sambil berkata 'shhh'.

Aku terdiam. Lebih baik aku ikut saja apa yang dia hendak buat. Caranya terlalu dingin. Aku takut.

Selepas dia mengelap darah di leherku, dia meletakkan lumatan bunga dan daun yang digilingnya tadi ke leherku. Terasa seperti bunga dan daun itu menyedut-nyedut segala isi dan darahku. Aku menyeringai kesakitan tapi aku takut untuk bersuara.

Rasa sakit yang tadinya seperti disedut-sedut perlahan-lahan berubah menjadi sejuk dan selesa. Selepas dia meletakkan semua lumatan bunga dan daun itu, dia membalut sehelai kain putih pada leherku.

"Nama saya Ashanty. Nama awak siapa?" aku berusaha memecah kesunyian yang semakin terasa janggal. Dia masih lagi tekun membalut luka di leherku.

Aku melihat luka-luka pada lengan yang sudah diubati olehnya dengan sejenis cecair putih. Entah ubat apa yang dia letak pada luka-luka itu. Warnanya seperti kapur pekat.

"Dah siap. Makan bubur ni, lepas tu kau boleh balik," katanya selepas habis membalut leherku lalu mengangkat botol-botol dan mangkuk-mangkuk yang diletakkan ke dalam dulang. Aku terpempan mendengar kata-katanya.

"Balik? Saya nak balik mana?"

"Balik dari mana arah kau datang," jawabnya lalu berlalu ke bahagian dapur.

"Tapi saya tak tahu macam mana nak balik."

"Pergilah ke tempat kau lalu tadi."

"Tapi saya sakit lagi," aku berdalih, mengharapkan agar dia kasihan denganku dan mengizinkan aku tumpang bermalam di situ.

Dia terus menoleh ke belakang dan memandang aku dengan pandangan dinginnya.

"Aku nak kau pergi sebelum matahari terbit esok pagi," katanya lalu menaiki tangga menuju ke tingkat atas.

Aku yang masih duduk di atas katil terkebil-kebil. Gilakah lelaki ni? Dia... Dia halau aku balik dalam keadaan aku seperti ini?





TERSESAT KE ALAM BUNIANWhere stories live. Discover now