CHAPTER 10: DI AIR TERJUN

10.2K 552 22
                                    

"Asha, minggu depan masa cuti sekolah kita pergi mandi air terjun kat Gunung Ledang, nak tak?" soal abah ketika kami sekeluarga sedang makan malam. Aku yang sedang makan, terus terhenti apabila mendengar abah berkata seperti itu.

"Gunung Ledang? Wahhh, bestnya! Betul ke, abah? Abah nak bawak Asha pergi mandi air terjun? Betul ni?" soalku berkali-kali dengan mata membulat. Seakan-akan tak percaya dengan apa yang abah katakan tadi.

"Iyelah, sayang. Kita dah lama tak pergi jalan-jalan. Asha nak tak?"

"Mestilah nak! Asha suka mandi air terjun. Yeayy, pergi jalan-jalan. Mandi air terjun. Yeayyy!" aku menepuk tangan dan bersorak gembira. Ibu dan abah melihat aku sambil tertawa. Rambutku diusap lembut ayah.

"Sukanya dia nak pergi air terjun..."

"Mestilah, ibu. Seronok tau. Ibu, nanti kita bawak bekal, nak tak? Boleh makan sambil mandi-manda," cadangku pada ibu pula.

"Asha nak bekal apa? Nanti ibu masakkan."

"Asha nak... Ermmm... Sandwich, ayam goreng, pizza. Lagi apa eh?"

"Amboi, siap nak bawak pizza," perli abah.

"Alaaa, bolelah abah. Sekali ni je. Nanti kita beli pizza, eh? Bolehlah, bolehlah..." aku mula menggoyang-goyangkan tangan di sebelah sambil buat muka manja. Ibu yang sedang makan di hadapanku sudah tergelak melihat kami.

"Tak payahlah. Membazir je. Nanti minta ibu masakkan mee goreng buat bekal pergi sana," cadang ayah pula. Aku sudah mula memuncungkan mulut.

"Tapi... Kalau tak ada pizza pun, ada ayam goreng jadilah. Boleh kan, ibu?"

"Boleh, sayang. Nanti ibu buatkan," jawab ibu sambil mengusap lembut rambutku.

"Abang ni pun, janganlah asyik nak berjimat je. Sekali- sekala, bagilah anak kita ni makan sedap," kata ibu pada abah pula. Abah yang sedang makan mengangkat kening apabila ditegur ibu.

"Iyelah, iyelah. Nanti abang belikan. Selamat kesayangan abang cuma sorang ni je. Mari sini anak abah. Anak abah sayang abah tak?" soal abah lantas menarik aku duduk di ribanya.

"Sayang!"

"Kalau sayang kena cium abah dulu baru abah belikan pizza," kata abah sambil menadah pipinya. Aku tergelak lalu mencium pipi kanan abah.

"Belah sini?"

Kali ini pipi kirinya pula aku cium. Selepas itu abah pula mencium sambil memeluk aku erat. Aku meronta-ronta kegelian sambil ketawa apabila misai abah mengena pipi. Ibu menggeleng kepapa sambil ketawa melihat aku dan abah.

Ya, itulah kenangan terakhir antara aku dengan abah sebelum abah kemalangan jalan raya ketika aku berumur 8 tahun. Kami tidak sempat untuk pergi berkelah di Gunung Ledang, abah telah meninggalkan aku dan ibu selama-lamanya.

Sejak pemergian abah, hanya ibu yang menanggung kami sekeluarga. Setiap hari ibu akan membuat kuih dan nasi lemak untuk dijual di tepi jalan berdekatan sebuah sekolah. Kami sekeluarga hilang tempat bergantung dan kami hilang cahaya kehidupan kami.

Lima tahun kemudian, ibu berkahwin dengan ayah ketika aku berumur  13 tahun. Pada mulanya aku memang tidak mahu ayah jadi ayah tiri aku kerana aku terlalu sayangkan abah. Bagi aku, tiada siapapun yang mampu ambil tempat abah di dalam keluarga kami.

Tapi kalau itu pilihan ibu waktu itu, siapa aku untuk menghalang. Ibu pun perlukan kebahagiaan untuk dirinya juga.

Tapi... Ayah tiri aku tu...

Aku memejam mata rapat-rapat. Bawah bibir aku gigit perlahan, menahan rasa sakit yang bergelora di dada. Tanpa aku sedar, air mata jernih mengalir di pipi.

"Selamat bunga ini tumbuh dekat- dekat sini, tak perlu aku cari jauh-jauh," kata Indrawan yang tiba-tiba datang dari belakang lalu melabuhkan punggung di sampingku. Aku yang terkejut lantas membuka mata dan mengelap air mata.

"Awak cakap apa tadi?"

"Tak, bunga ini aku jumpa tepi tu saja. Dekat. Senang nak cari," ujarnya sekali lagi. Aku melihat bunga putih bersama beberapa helai daun yang berada di tangannya. Kalau tidak silap aku, bunga dan daun-daun itu sama macam bunga dan daun yang dia guna untuk ubat luka dan kesan gigitan pontianak haritu.

"Ni, bunga dengan daun yang haritu, kan?"

"Ya," jawabnya sepatah. Dia lantas membasuh semua  bunga dan daun dengan air sungai. Aku mengelap sekali lagi baki air mata sebelum dia perasan yang aku menangis.

"Mari sini..." aku lantas mengangkat wajah memandangnya.

"Kau menangis?"

"Ha?"

Matanya mengecil memandang wajahku. Aku lantas melarikan wajahku dari terus ditatap olehnya seperti itu.

"Sakit sangat luka tu?"

"Ha? Ermm... Haah. Sakit," jawabku sambil mengangguk. Ya, memang luka ini menyakitkan. Tapi ia tidak sesakit luka yang selama ini berdarah dalam hati aku.

Ya, tak sesakit luka yang aki pendam. Luka yang selama ini, tidak pernah kebah walaupun bertahun-tahun lamanya ia berdarah. Orang kata, waktu akan merawat luka di hati. Lama-lama ia akan baik juga. Tapi, aku tak pernah berasa begitu.

"Dah, kita guna daun ini dulu. Daun ini akan kecutkan luka-luka kau," katanya lalu melumatkan daun-daun itu menggunakan batu. Tanganku masih menekup bekas gigitan yang berdarah. Mana tidaknya, pontianak itu tadi mencungkil-cungkil luka di leherku. Sumpah, sakit!

"Mari sini."

"Eh, takpelah. Saya boleh letak sendiri," aku mengelak tangan Indrawan yang ingin meletakkan lumatan daun tadi di leherku.

"Cuba jangan degil! Sini!" marah Indrawan. Matanya menjengil melihatku. Aku pula sudah mengetap bibir geram. Dia ni, lagi tadi asyik marah-marah aku. Datang bulan setiap hari ke? Gumamku dalam hati.

Lambat-lambat aku kembali duduk dekat dengan dia dan menghadapnya. Aku cuma merelakan dia meletakkan lumatan daun tadi di leherku. Satu keluhan besar aku lepaskan, tanda masih tidak berpuas hati.

"Boleh pun diam..." katanya perlahan.

"Kau rasa kalau kau letak sendiri, kau nampak tak di mana luka tu? Tak nampak, kan?"

Aku menggeleng malas.

"Sebab itu, jangan membantah bila aku cakap," sambungnya lagi.

Aku menunduk melihat ke baju yang berlumuran lumpur berserta darah. Dia betul. Dan aku yang selama ini yang banyak menyusahkan dia. Aku juga yang tiba-tiba datang ke rumahnya malam-malam, selepas itu menumpang di rumahnya hingga aku semakin sembuh dan agak kuat. Dia juga yang akan membantu aku mencari jalan pulang nanti. Walaupun dia kasar dan dingin, dia terlalu baik pada aku.

"Awak..."

"Apa lagi?"

"Saya nak mintak maaf," ucapku. Aku bermain kuku jari sambil menunduk.

"Mengapa?"

"Sebab saya dah banyak susahkan awak."

"Tahu pun," jawabnya pendek. Wajahnya terus aku pandang bersama satu jelingan geram. Sakit hati!

"Lepas ini, jangan keluar sesuka hati lagi. Esok atau lusa, bila kau dah sihat sedikit, dah makin kuat, aku bawa kau pergi jumpa orang yang lebih tahu selok-belok di sini. Mungkin dia tahu bagaimana mahu keluar dari tempat ini."

"Keluar dari tempat ini?"

Kenapa... Keluar dari tempat ni? Aku rasa macam... Penggunaan ayat tu lain macam je. Ke, aku yang terlebih fikir?

"Kau kata mahu balik ke universiti kau."

"Haa.. Iyelah. Tapi.."

"Dah, jangan banyak cakap lagi. Aku peninglah dengar perempuan asyik membebel je," katanya dingin. Sekali lagi aku menggigit bawah bibir geram. Ishhh, sabar sajalah jumpa orang annoying macam dia ni!

TERSESAT KE ALAM BUNIANWhere stories live. Discover now