CHAPTER 16-SISI LAIN INDRA

9.1K 561 8
                                    

Aku merenung bulan di balik jendela. Bulan mengambang penuh itu kelihatan lebih dekat dan jelas berbanding  yang aku lihat dari universitiku. Aku juga pelik. Dan aku tidak tahu jawapannya.

Perang dingin yang aku lancarkan sejak kata-kata Indra petang tadi masih lagi berjalan. Semasa Indra memanggil namaku berkali-kali ketika aku hendak masuk ke bilik yang disediakan oleh Pak Ghazal dan isterinya Mak Indang, aku buat tidak tahu sahaja dan terus masuk ke dalam bilik. Bilik Indra hanya sebelah bilikku sahaja. Selepas aku menutup pintu bilik dan duduk di birai katil, aku dengar bunyi pintu dihempas dari sebelah. Mungkin Indra marah kerana aku buat endah tak endah saja pada dia.

Aku tahu kenapa dia jadi begitu. Tapi egoku mengalahkan akal. Aku masih berkecil hati padanya. Dan aku tidak mahu bercakap dengannya. Biarlah dulu! Biar dia pun rasa sakit hati yang aku rasa.

Aku biarkan jendela kayu terbuka separuh. Angin sejuk menerpa-nerpa ke tubuh. Sementara itu, aku sudah meletakkan kepala ke bantal. Aku tidak merancang untuk tidur pun. Hanya berbaring sambil melihat bulan mengambang saja.

Hujung rambut aku pintal-pintal dengan jari. Sempat aku meraba rambut yang telah diikat tocang oleh Mak Indang. Senyumku terukir. Rambutku memang tebal, ikal mayang dan panjang hingga ke pinggang. Jadi, selepas Mak Indang mengubati luka-luka yang ada di tubuhku, dia seboleh-boleh mahu menocangkan rambutku. Aku yang memang suka orang bermain-main dengan rambutku, hanya ikutkan saja permintaannya.

"Mak cik dah lama teringin nak tocangkan rambut anak mak cik. Tapi nak macam mana, mak cik tak ada anak perempuan. Anak lelaki pun sorang saja," jelas Mak Indang sambil menyisir rambutku. Aku terbuai saat Mak Indang menyentuh lembut rambutku. Sentuhannya benar-benar seperti seorang ibu. Ingatanku terus melayang pada ibu yang dahulu selalu menocangkan rambutku.

"Jadi, Yusuf seorang jelah anak mak cik?"

"Ya, dia sajalah anak tunggal makcik. Dialah penawar, dialah racun. Tapi Indra tu pun makcik dan pakcik dah anggap macam anak kandung sendiri. Sejak rumah keluarga dia terbakar dan semua ahli keluarga dia meninggal masa dia kecil dulu, dia memang duduk dengan makcik. Cuma bila dah besar, dia lagi suka duduk di hutan. Senang dia nak cari kayu katanya."

"Meninggal?" aku menoleh memandang Mak Imdang. Terkejut dengan apa yang Mak Indang cerita.

"Ya, masa tu dia kecil lagi. Sejak tu, dia dah tak bercampur sangat dengan orang kampung. Suka bawa diri sendiri. Pendiam, anginnya cepat naik. Indra masih tak boleh lupa kejadian tu, sebab kejadian tu berlaku betul-betul depan matanya. Mungkin sebab tu jugalah dia lebih selesa duduk di hutan seorang diri," jelas Mak Indang lagi. Suaranya kedengaran syahdu dan semakin serak. Aku menoleh, ada cecair jernih mengenang di tubir matanya. Lalu aku kesat dengan hujung jari.

"Asha faham perasaan Indra. Sebab Asha pun hadapi benda yang sama."

"Maksud Asha?"

"Asha pun dah tak ada ibu ayah. Asha hidup seorang selama ni. Tapi sebenarnya Indra beruntung sebab ada makcik dan pakcik. Tapi... Asha dah tak ada sesiapa lagi dah kat dunia ni, makcik," luahku perlahan. Senyuman pahit aku ukirkan di bibir. Mak Indang terus menarik aku ke dalam pelukannya. Serta-merta air mata yang aku tahan tumpah.

"Jangan sedih ya, nak. Mak cik ada di sini. Anggap sajalah mak cik ni ibu kamu, ya? Dah, jangan sedih-sedih," pujuk Mak Indang. Belakang badanku digosok-gosok perlahan. Menambah lagi perasaan syahdu dalam hati. Setelah beberapa ketika, jarinya kini mengelap tepi mataku. Aku melepaskan pelukan itu dan tersenyum kecil.

"Terima kasih mak cik. Sebab sudi dengar cerita Asha," ucapku. Saki-baki air mata aku lap dengan tangan.

Ahh, kenapa aku menangis? Aku dah janji tak nak menangis lagi, kan?

"Eh, bukan mak cik. Panggil ibu," katanya lagi. Aku terus mengangkat muka, melihat wajahnya.

"Ibu?"

"Ya, selama Asha di sini, Asha panggil saja mak cik ibu ya, nak?"

Setitik lagi air mataku tumpah. Sudah terlalu lama mulut ini tidak memanggil seseorang dengan gelaran ibu. Aku memeluknya sekali lagi.

"Terima kasih, ibu."

Selepas itu, Mak Indang a.k.a ibu sambung menocang rambutku. Aku bergurau dan bergelak ketawa bersama. Mak Indang juga bercerita tentang Indra yang agak nakal ketika kecilnya. Pernah sekali ketika bermain bola dengan anak-anak kampung, salah seorang budak yang bermain dengannya tersepak bola dan bola itu mengena tepat-tepat dikepalanya. Indra terus naik marah dan memukul budak itu hingga lebam sana sini. Sejak itu, tiada sesiapa mahu bermain dengannya lagi kerana takut dengannya.

"Indra tu memang panas-baran sikit. Sejak kecil, anginnya cepat saja naik. Mungkin sejak keluarganya meninggal, dia rasa sunyi. Sebab tu dia berubah jadi begitu. Dahulu sebelum keluarganya meninggal, dialah budak paling periang, dengan semua orang dia ramah," jelas ibu lagi.

"Tapi dia sebenarnya penyayang, hatinya baik. Dia selalu tolong orang kampung di sini bila orang kampung minta bantuan. Pak Ghazal kamu tu ketua kampung. Banyak hal-hal di kampung diserahkan kepada Indra. Nak mengharapkan si Yusuf tu, memang taklah. Tahunya bermain sabung ayam di hujung kampung saja. Tahu tak, kalau mak cik sakit pun, yang jaga mak cik hingga sembuh, si Indra tu lah," sambung ibu lagi. Aku mengangguk-angguk mendengar ceritanya. Patutlah apabila aku sakit dan kesusahan, dia bantu aku. Rupanya dia memang bersikap seperti itu.

Aku tersenyum sendiri tatkala teringat telatah Indra dan ibu ketika di dapur. Ketika itu ibu sedang memasak makan malam dan Indra datang perlahan-lahan dan terus sergah ibu. Habis keluar semua latah ibu. Latah ibu makin menjadi-jadi bila Indra mencucuk pinggang ibu. Sampai-sampai senduk ditangan ibu hinggap di lengan Indra. Aku yang menolong memotong sayur hanya ketawa melihat telatah mereka.

Aku tidak pernah melihat Indra gembira seperti itu. Dia bagaikan orang asing yang tidak pernah aku kenal. Mungkin itu sifat sebenar dia.  Cuma dia saja untuk selindungkan. Memang terkadang, manusia memakai topeng untuk menutupi sikap sebenar mereka kerana mereka fikir, itu adalah cara untuk mereka melindungi diri. Dan aku gembira kerana aku dapat kenal sisi lain pada diri Indra.

Persoalan tentang arca kayu masih lagi bermain-main di mindaku. Mungkinkah arca itu gambar ibunya yang meninggal dunia? Kerana dia selalu rindukan ibunya, jadi dia buat arca persis sama wajah ibunya. Boleh jadi juga.

Tapi baju perempuan yang aku jumpa itu milik siapa pula?

TERSESAT KE ALAM BUNIANWhere stories live. Discover now