CHAPTER 20-2.0.1.4

8.1K 564 25
                                    

"Jangan berdiri dekat sangat dengan tebing. Jatuh nanti," tegur satu suara dari belakangku. Aku terus menoleh dari belakang. Kelihatan seorang lelaki sedang tersenyum di belakangku. Aku memandangnya dengan kerutan di dahi. Siapa dia ni?

"Kau ini... Sahabat Indra, bukan?"

"Mana awak tahu saya kawan Indra?"

"Aku nampak kau datang bersama Indra di sini semalam. Aku Ibrahim," dia memperkenalkan diri. Tangannya diajukan kepadaku. Aku ragu-ragu hendak berjabat tangan dengannya.

Perlahan-lahan, dia menarik tangannya semula.

"Ah, maaf kalau aku buat kau terganggu. Aku datang ke sini kerana melihat kau seorang saja. Mengapa kau seorang diri? Mana Indra?"

"Ouhh, tadi kita orang jalan-jalan kat pasar. Lepas tu, dia ada urusan dengan Pak Ghazal. Jadi saya sajalah jalan-jalan kat kampung ni," jawabku.

Salah satu perkara yang pelik aku jumpa di kampung ni, semua penduduk kampung bercakap dalam bahasa baku. Sekarang ni zaman mallenium, kan? Zaman I-you, lu-gua, sis-bro. Zaman- beb, lu nak gi mana? Wassap bro, apa khabar? Weyh, kalau ade pape hal, roger.  Bukannya zaman ke manakah kau hendak pergi? Apakah khabar kau sekarang? Jikalau kau ada urusan, beritahulah aku.

Level baku tahap dewa. Aku peninglah dengan dia orang ni.

Kami berdua sama-sama membuang pandangan ke tasik yang luas terbentang. Angin menderu-deru perlahan memukul rambutku hingga menutupi separuh mukaku. Aku selak rambutku ke tepi leher.

"Aku rasa... Kau ni pasti tersesat, kan?" duganya tiba-tiba.

"Mana awak tahu?"

"Kau pasti tersesat kerana dikejar pontianak. Betul tak tekaan aku?"

"Mana awak tahu ni?"

Soalku lagi dengan mata membulat. Memang semua orang di sini ada kuasa telepati ke? Kuasa dapat baca fikiran orang?

"Tu, leher kau berbalut."

Aku memegang leherku dengan wajah yang masih terpinga-pinga. Memanglah leher aku berbalut. Tapi, takkanlah semudah itu dia tahu yang aku dikejar oleh pontianak hingga tersesat. Melihat wajahku yang bodoh-bodoh alang itu, Ibrahim tertawa.

"Kau tengok lengan aku ni," katanya sambil menunjukkan luka besar yang semakin kering di lengannya. "Ini pun kerja pontianak yang kejar kau tu jugak."

Aku menekup mulut mendengar penerangannya. Maksudnya, bukan aku sahaja yang dikejar pontianak itu. Rupanya ada lagi orang yang senasib dengan aku. Tak sangkanya...

"Awak pun kena sama macam saya?"

"Iya."

"Bila awak kena?"

"Hurmm... Lebih kurang dua bulan lepas kalau tak silap aku."

Jadi pontianak tu memang merayau-rayau di sekitar felda berdekatan dengan universiti akulah? Kenapa aku tak pernah dengar berita atau viral tentang pontianak tu selama ni?

"Maksudnya rumah awak kat felda yang dekat dengan universiti saya? Ramai ke yang dia buru sebenarnya ni? Kenapalah saya tak pernah dengar pasal cerita ni."

"Universiti? Apa itu?" Ibrahim menyoal kembali dengan muka berkerut.

"Universiti. Tempat belajar."

"Ouhh, sekolah?" soalnya lagi. Kali ini aku pula yang mengerut dahi.

"Eh, bukan. Sekolah tu tempat budak-budak belajar. Saya belajar kat univerisiti," terangku lagi.

"Kau belajar lagi? Seusia kau ini masih belajar?" Ibrahim memandang aku atas bawah. Eh, baru 21 tahun. Mestilah masih belajar. Takkan dah kahwin pulak.

"Ya," aku mengangguk juga walaupun aku juga pening dengan apa yang dia cuba katakan.

"Ouhh, mungkin pondok tempat kau belajar itu namanya universiti? Kau mengaji kitab, ya? Kitab apa?"

"Kitab?"

Aku sudah menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Apa pelik sangat dia ni?

"Haaa... Tak kesahlah tentang kitab tu. Tapi awak ni mesti asal dari Jengka, kan?"

"Jengka?"

"Haah. Saya sesat dari Jengka la ni."

"Tapi aku asal dari Teluk Anson," jelas Ibrahim lagi. Aku membulatkan mata sekali lagi.

"Teluk Anson?"

"Ya."

Aku ligat memutarkan kembali daya ingatan kepada beberapa fakta-fakta sejarah yang pernah aku pelajari. Teluk Anson? Kenapa aku macam pernah dengar nama tu? Tapi aku tak ingat di mana dan apa itu.

Tapi tu bukan nama lama bagi suatu tempat ke? Sekarang mana ada lagi nama tu?

"Tapi sekarang mana ada Teluk Anson lagi."

"Tiada?"

"Mana ada dah."

"Hahaha, takkanlah. Aku tersesat dan sampai ke kampung ni dua bulan lalu. Itu pun aku diselamatkan keluarga Bunga. Kalau tidak, tak tahulah nasib aku. Mati di kebun mungkin selepas dikejar pontianak itu. Takkanlah dalam masa dua bulan Teluk Anson boleh hilang dan tiada," terangnya lagi panjang lebar. Ibrahim tertawa kecil, tapi bunyinya seakan dia pun pening dengan apa yang kami perbualkan.

Aku mati akal untuk berbicara lagi. Semuanya aku rasa pelik.

"Tahun ni 2014, kan?"

Entah mengapa mulutku terkeluar soalan itu, aku pun tidak pasti.

"Asha!" tegur satu suara dari belakangku. Belum sempat aku menoleh, satu tangan telah menarik lenganku.

"Indra."

Badanku terus berlanggar badannya. Tangannya masih kuat memegang lenganku.

"Kan aku sudah bilang. Balik awal. Kau merayau ke mana saja ni? Dah tengah hari panas terik begini pun tak reti balik lagi," Indra mula membebel. Tapi intonasi suaranya masih terjaga. Masih kedengaran lembut di tepi telingaku walaupun tegas.

"Errr... Saya jalan-jalan sekitar kampung sekejap. Tengok suasana kampung. Tiba-tiba terjumpa kawan awak ni pulak. Tu yang bual kejap," jawabku lalu menunjuk ke arah Ibrahim yang masih berdiri di hadapan kami.

"Apa maksud kau tahun ini 2014?" soal Ibrahim kembali kepadaku tanpa mengindahkan Indra. Keningku terjongket mendengar soalannya.

"Sudah, Asha. Mari balik."

Belum sempat aku menjawab pertanyaan Ibrahim, Indrawan menyulam jemarinya di antara jemariku dan menarik aku meninggalkan Ibrahim. Aku yang masih pelik dengan segalanya hendak tak hendak terpaksa mengikut juga langkah Indra yang besar itu hingga aku berlari kecil.

Aku sempat menoleh ke belakang dan melihat Ibrahim masih dengan beriak pelik.

Kenapa semua orang di sini nampak pelik?

Ke aku baru perasan yang mereka semua ini pelik.

Aku memandang ke arah Indra.

Ya, dia juga pelik.



Sorry, kalini saya buat 900 patah perkataan je. Memang pendekkkk sangatttt. Sorry sangat2🙇🙇🙇

Tapi nak publish jugak sebab tak sabarla nak simpan je kar draft hahahaha.

TERSESAT KE ALAM BUNIANWhere stories live. Discover now