CHAPTER 51-KISAH CINTA

7.9K 492 60
                                    

POV Indra

Aku menarik genggaman tangan Asha dari lenganku dan melepaskannya perlahan-lahan. Wajah sedih Asha yang berbekas dengan air mata aku pandang sayu. Perlahan-lahan, aku memandang semula ke arah Mustafa, si petapa tak guna yang selama ni sudah menghancurkam kampung aku. Bukan sekadar itu, dialah penyebab kematian ayah dan ibuku. Dialah juga penyebab aku menjadi anak yatim piatu pada usia masih mentah. Dan sekarang, dia nak ambil Asha sebagai isteri? Kejadah apanya?!

Mustafa masih merenung tajam ke arahku. Nafasnya termengah dan menderam kuat, tak ubah seperti seekor seladang yang ingin menyondol mangsa. Keris warisan di pinggang aku sentuh. Tiba-tiba aku teringat akan kata-kata Pak Ghazal semalam.

"Jangan gunakan keris ini terlalu awal ketika melawan dia."

"Kenapa, Pak Ghazal?"

"Keris ini adalah musuhnya. Dan dia dah lama cari keris ini untuk hapuskannya. Tak ada siapa pun yang tahu siapa yang boleh menggunakan keris ini termasuklah petapa tu sendiri. Ingat, petapa itu akan hilang kebalnya andai digunakan oleh orang yang betul-betul layak sahaja. Dan aku harap, orang itu adalah kau."

Aku melepaskan kembali keris itu dan mengambil keris yang terselit di bahagian kiri pinggang pula. Aku tak kesah, sama ada aku orang yang layak atau bukan, aku tetap akan membunuhnya!

"Yaaarghhhhh!!!" aku terus berlari menuju ke arah Mustafa sambil menghunuskan keris ke arahnya. Dia yang hanya berdiri tanpa memegang apa-apa senjata sempat mengelak ke kanan dan menendang kakiku. Nasib baik aku sempat melompat ke belakang dan berpaling semula ke arahnya.

Kali ini aku menyerang lagi. Aku menghunuskan keris ke sisi kiri bahagian perut dan Mustafa mengelak. Aku melakukan serangan berkali-kali dan kali ini aku membuat lompatan dan menghujahkan siku ke bahagian belakangnya.

"Uhukk... Uhukk..." Mustafa terbatuk-batuk lalu mengundur ke belakang. Bibirnya tersengih senget.

"Hehehe... Hahahahahah... " dia ketawa kecil dan tawanya semakin besar.

"Rentak kau tak cukup cantik..." ulasnya ringkas. Aku terus berlari menuju ke arahnya dan menghunuskan keris ke arahnya berkali-kali tapi dia sempat mengelak ke kiri dan ke kanan sambil mengundur ke belakang. Dia yang tidak memegang apa-apa senjata hanya mengelak dari mata kerisku dan melompat ke sana dan ke sini setiap kali aku melakukan serangan. Pergerakannya sungguh pantas. Aku bagaikan mengejar bayang-bayang sendiri. Mata keris selalu hampir pada tubuhnya. Dan setiap kali ia ingin membenamkan matanya, Mustafa mampu mengelak secepat angin.

Kali ini aku menghunuskan mata keris ke sisi kiri dadanya, dia sempat mengalih ke belakangku. Aku lantas mengalih ke belakang. Dan dia tiba-tiba sahaja sudah berada di belakangku lagi. Aku mengalih sekali lagi, dan dia  sekali lagi pusing ke belakangku. Aku terus berlari ke hadapan dan mencari nafas yang hilang.

"Hahahahahahahahahah......" Mustafa ketawa. Aku yang termengah- mengah dipermainkan olehnya itu merenung dia dengan mata tajam.

"Penat ke? Nak main lagi?" balasnya sambil tersengih senget. Tadi, dia yang nampak marah sangat dengan aku. Sekarang, dia yang paling terhibur. Tak faham aku.

Aku berlari ke arahnya lagi. Kali ini aku menghunuskan keris ke dadanya berkali-kali dan dia hanya mengundur ke belakang dan mengelak nipis setiap seranganku. Setelah itu, dia melompat ke belakangku dan aku ikut berpusing dan menyerangnya lagi. Aku cuba untuk membuat dua serangan dengan menendang dan menghunuskan keris ke arahnya tetapi semua seranganku mampu dia elak dengan hanya sedikit gerakan.

Aku berhenti seketika dan menarik nafas berkali-kali. Rasanya sudah keliling kawasan ruang ini aku pusing semata nak mengejar si petapa. Tapi petapa ni seakan terhibur melihatku. Dia tak nampak penat walau sedikitpun.

TERSESAT KE ALAM BUNIANWhere stories live. Discover now