CHAPTER 37- KISAH INDRA

7.5K 473 24
                                    

Sudah puas aku mencari di sekeliling kampung, tapi bayang Asha dan Ibrahim langsung tak kelihatan. Keadaan kampung memang sunyi sepi. Tak pernah kampung sesepi ini kecuali waktu-waktu pontianak itu datang menuntut janji setiap 5 tahun.

Aku masih ingat lagi, tatkala aku kecil dan pontianak itu datang menuntut janji. Dia menghancurkan tanaman dan ternakan, merosakkan rumah kediaman dan kandang-kandang, dan yang paling teruk, membawa lari perempuan dari kampung ni untuk dipersembahkan kepada si petapa jahanam di Gua Buana. Waktu itulah nyawa ayah diragut kerana ayah berusaha mempertahankan ibu dari diambil oleh pontianak. Ayah aku hampir putus leher dari badan kerana digigit oleh pontianak pada tengkuknya. Melihat kejadian itu, ibu menjadi hilang kawalan lalu mengamuk dan berusaha membunuh pontianak itu. Tapi akhirnya, ibu turut menerima nasib yang sama.

Aku waktu itu kecil lagi. Terlampau kecil untuk mempertahankan nasib ayah dan ibuku. Aku hanya mampu menyorok di dalam almari sambil menutup mulut dan menangis. Setelah ayah dan ibuku diragut nyawanya dengan kejam, rumahku terbakar kerana bara api terjatuh ke lantai sewaktu ayahku bergelut dengan pontianak itu.

Mungkin itulah kuasa Tuhan, entah bagaimana aku boleh terselamat dari kebakaran. Setelah perasan akan asap berkepul-kepul datang dari ruang tamu, aku cuba cari jalan untuk melarikan diri. Tubuh ibu dan ayah yang tergeletak di ruang tamu aku pandang dengan hati yang bagai dicarik-carik. Suatu perasaan asing timbul. Perasaan dendam yang membara atas kematian orang tuaku. Perasaan yang, kalau aku mampu keluar dari rumah yang terbakar ni dan aku masih hidup selepas ini, aku akan cari jalan untuk hancurkan si petapa jahannam itu.

Aku berusaha keluar dari pintu rumah tapi pintu itu tersangkut dan aku tak mampu untuk membukanya. Asap semakin banyak dan api semakin marak membara dari ruang tamu. Keadaan terlalu panas sementara aku merasa semakin sesak nafas. Aku rebah ketika aku masih berusaha membuka pintu yang tersekat.

Selang beberapa hari, barulah aku sedar. Dan ketika itu aku sudah ada di rumah Pak Ghazal. Jenazah ibu dan ayah telahpun siap disempurnakan dan dimakamkan. Aku tak sempat melihat wajah ibu dan ayah untuk kali terakhir. Sejak itu aku menangis berhari-hari dan aku tak mahu bercakap dengan sesiapa.

Cukuplah. Itu saja kenangan terakhir antara aku dengan ayah dan ibu.

Hal yang lebih penting sekarang ni, mana aku nak cari Asha?

Tiba-tiba aku teringatkan Hawa. Sewaktu aku jumpa dia petang tadi, dia seolah-olah sembunyikan sesuatu daripada aku. Caranya pelik sedikit. Mungkin dia ada berbuat sesuatu atau merancang sesuatu dengan Asha kerana tadi dia kata yang dia tak nampak Asha, tapi Siti seakan hendak berkata sebaliknya.

Aku harus cari Hawa. Mungkin dia tahu sesuatu.

..........


"Assalamualaikum. Assalamualaikum," aku memberi salam dari bawah. Beberapa detik kemudian, kelihatan pintu rumah dibuka.

"Waalaikumussalam. Indra. Apa kau buat di sini malam-malam?" Hawa sudah berdiri di tangga rumah dengan wajah pelik. "Masuklah dulu. Bahaya malam-malam begini di luar."

"Tak apa. Di sini sajalah. Sebenarnya aku nak tanya kau sesuatu."

"Apa dia?"

"Kau ada nampak tak Asha hari ini? Dari petang tadi aku tunggu dia tapi masih tak pulang-pulang lagi."

"Indra... Kan aku dah bilang, aku tak nampak dia. Lagipun dia bukannya rapat dengan aku pun. Kenapa dia nak jumpa aku? Selalukan dia yang dengan kau ke sana ke mari."

"Itu aku tahu, tapi masalahnya aku puas cari dia satu kampung. Aku tanya orang-orang kampung, tapi tak ada sorang pun nampak dia."

"Itu manalah aku tahu, Indra. Mungkin dia jalan-jalan sekitar kampung, lepas itu tersesat."

"Kalau dia tersesat pun, takkanlah pergi jauh sangat. Lagipun kampung ni bukan besar mana."

"Entahlah. Aku tak tahulah pasal dia tu. Yang kau ni sibuk sangat tentang dia kenapa? Sampai ke rumah aku kau datang semata nak cari dia."

"Kau tahu tak sekarang ni bukan Asha sorang saja yang hilang, tapi Ibrahim sekali. Sebab tu aku cari mereka berdua tu merata tempat."

"Ibrahim?"

"Ya, tadi Bunga datang rumah aku. Dia kata Asha jumpa Ibrahim lepas tu tak tahulah mana mereka pergi."

"Kenapa pulak Ibrahim ni ikut Asha..." Hawa menggumam perlahan. Aku mula mengerut dahi.

"Apa dia?"

"Ah, tak. Tak ada apa-apa. Indra, aku ada kerja nak buat ni sebenarnya. Kau balik dulu, ya."

Dia ni, betul-betul buat aku hilang sabar. Kalau aku tanya baik-baik memang tak akan dilayan.

"Hawa, aku bercakap dengan kau lagi ni."

"Sudahlah, Indra. Aku penat tahu tak. Baliklah..." jawab Hawa malas.

"Hawa. Aku tahu yang kau tahu sesuatu, kan?"

"Tahu sesuatu apa?"

"Cuba terus-terang dengan aku apa yang terjadi."

"Aku kata aku tak tahukan, aku tak tahulah!" Hawa mula naik angin.

"Tapi aku tahu yang kau sorokkan sesuatu."

"Hei, kau ni tak habis-habis tuduh aku, kan? Aku tak campurlah dengan urusan dia tu! Kalau aku kata yang aku tak tahu, aku tak tahulah! Dahlah, kau baliklah! Aku nak masuk rumah," kata Hawa lagi lalu menuju ke pintu rumah.

"Hawa! Kau tahukan bagaimana keadaan kampung ni sekarang. Kalau apa-apa terjadi antara mereka berdua, kita sekampung juga dapat susah! Kau nak apa-apa terjadi pada orang kampung ke?" jeritku dari bawah tangga. Sabarku memang tinggal separuh. Aku tahu Hawa berbuat sesuatu. Macam aku tak kenal dia. Dan kalau itu mengancam keselamatan Asha, aku takkan maafkan dia.

Orang kampung. Itu saja cara aku supaya Hawa buka mulut. Dia takkan nak kampung ni musnah. Aku juga sama. Aku juga tak nak kampung ni hancur gara-gara si petapa gua itu. Tapi aku juga tak mahu Asha dalam bahaya. Kalau boleh, aku nak selamatkan dua-dua.

Langkah Hawa terhenti di depan pintu. Perlahan-lahan Hawa memandang semula pada aku. Jarinya bermain-main di hujung baju. Langkahnya mula mendekati tangga.

"Aku... Aku tak tahu yang dia akan libatkan Ibrahim..." katanya perlahan.

"Mana Asha pergi?"

TERSESAT KE ALAM BUNIANWhere stories live. Discover now