CHAPTER 15-BERTEMU PAK GHAZAL

8.9K 994 22
                                    

Dari jauh kelihatan rumah-rumah di tepi tasik itu. Ada beberapa lelaki yang menaiki sampan menegur Indrawan apabila sampan kami menghampiri sampan milik mereka.

"Hendak ke mana kau, Ali?"

"Ke mana lagi? Cari ikanlah. Lama benar aku tak nampak kau balik ke kampung ni? Banyak barang ukiran dan barang-barang kayu lain yang kau bawa dari hutan?" tegur lelaki itu.

"Harini aku datang tak bawa dagangan. Mungkin lain kali. Aku ada hal penting."

Sememangnya setiap hari kerja si Indra adalah mencari kayu-kayu di hutan. Kayu-kayu itu akan dibentuk menjadi pelbagai jenis barang contohnya cermin, cawan dan pinggan kayu hinggalah meja dan kerusi. Barang-barang itu akan diukir dengan pelbagai jenis corak dan hasilnya amat cantik. Mungkin kerana itu dia lebih selesa duduk di hutan. Senang hendak mencari kayu.

"Kau hendak bernikah, kah? Dengan gadis cantik di belakang kau itu?" soal lelaki itu tadi sambil memandang ke arah aku. Dia sempat tersenyum. Aku membalas senyumannya dengan senyuman sebelum melarikan pandangan ke tempat lain. Terasa membahang pula pipiku apabila dipuji seperti itu.

Tapi, ada sesuatu yang menarik perhatianku dengan kata-kata Ali tadi. Indra datang ke kampung ini untuk bernikah? Jadi maknanya, Indra belum berkahwin lagi dan arca kayu gadis itu bukan isterinya.

Tanpa aku sedar, bibirku tersenyum sendiri. Aku langsung menunduk sambil menyelak rambut yang jatuh ke bawah ke tepi telinga.

"Bukanlah. Ada-ada saja kau ni, Ali. Aku hendak berjumpa Pak Ghazal."

"Oh, Pak Ghazal. Aku rasa dia ada di tepi tasik sebentar tadi. Sedang membeli ikan di pasar. Kau pergilah. Aku pergi menjala ikan dulu. Bila-bila nanti kita jumpa," kata Ali sebelum membawa sampannya menjauhi kami.

Kami mendekati kawasan perkampungan itu. Setelah itu, Indra mengikat sampan pada sebuah tiang kayu di tepi tasik. Dua orang yang ternampak sampan Indra datang mendekati kami.

Indra turun dari sampan dahulu. Selepas itu, barulah aku. Aku menuruni sampan yang bergerak-gerak ke kanan kiri dipukul ombak dengan berhati-hati. Tersalah langkah, mungkin aku akan terjatuh ke dalam air. Indrawan menghulurkan tangannya kepadaku ketika aku hendak turun dari sampan ke darat, tetapi aku buat-buat tidak nampak sahaja. Batang tiang yang berada di tepi sampan itu aku pegang untuk mengimbangkan diri.

Aku perasan ekor mata Indra yang melihat aku, tapi seboleh-boleh aku larikan pandangan. Tidak mahu bertemu mata dengannya. Aku masih terasa hati dengannya.

"Indra... Lama benar tidak nampak kau balik ke kampung ini. Rasanya sudah setengah purnama. Mana kau pergi?" tegur seorang lelaki tua. Indrawan langsung bersalaman dengan lelaki itu dan memeluknya.

"Indra tak sempat balik, pakcik. Bukan Indra tak mahu balik."

"Kamu tahu, tak? Makcik kamu tu sampaikan rindu sekali dengan anak buahnya seorang ni. Hari-hari dia bertanya pada aku, bila Indra hendak pulang. Bila Indra hendak pulang. Aku pun sampai penat nak menjawab," luah pak cik itu lagi. Aku yang masih berdiri di belakang Indra hanya berdiam diri melihat mereka.

"Rindu benar tu. Tak mengapalah. Kejap lagi Indra pergi jenguk mak cik di rumah," jawab Indra lantas tersenyum lebar.

Aku tergamam seketika. Rasanya, ini kali pertama aku melihat senyuman milik Indrawan. Selama aku tinggal di rumahnya, sekalipun aku tak pernah melihat dia tersenyum.

Aku masih kaku melihat Indra ketika dia bersalaman dengan lelaki yang hampir sama baya dengannya. Sesekali lagi Indra tersenyum. Apabila kawannya itu menepuk-nepuk belakang tubuhnya, dia tertawa kecil.

Aku memerhati bibirnya yang ditarik ke pipi, membentuk sebuah senyuman yang indah. Matanya juga tertarik ke tepi dan kelihatan sepet. Apabila dia tertawa, sebaris gigi putih kelihatan dari balik bibirnya yang sedikit terbuka. Dua lesung pipit terbit di tepi kedua bibir. Pemandangan yang tidak pernah aku nampak selama ini.

"Asha?" tegur Indra tiba-tiba. Tangannya menepuk perlahan lenganku, menyedarkan aku dari lamunan. Rupanya tiga pasang mata itu sedang melihatku.

"Kau mengapa?"

"Ahh, saya tak ada apa-apa," jawabku. Aku lantas melarikan pandangan ke bawah.

"Ini pakcik aku. Kau panggil saja Pak Ghazal. Pak cik, ini Ashanty."

"Ohhh, Ashanty. Sedap nama itu," kata Pak Ghazal. Aku terus menyalam Pak Ghazal dan mencium tangannya.

"Eh, marilah kita balik ke rumah. Dah makin senja ni. Nanti aku minta mak cik kau masakkan makanan kegemaran kau. Mari. Mari Ashanty," ajak Pak Ghazal. Aku sempat mengangguk dan tersenyum apabila Pak Ghazal menyebut namaku.

Aku terus mengikuti mereka dari belakang. Ekor mata Indra sempat melihat ke arahku, tapi aku masih buat-buat tidak nampak. Iyalah, nanti dia pun akan tinggalkan aku juga, kan? Untuk apa aku berharap pada dia lagi?

Err... Berharap? Apa maksud aku sebenarnya? Ahh, malaslah aku fikir!


................

"Begitulah ceritanya, pakcik," ucap Indra sebegai penutup cerita. Aku yang sedang menyuap makanan ke dalam mulut di sebelahnya hanya berdiam sejak tadi apabila dia bercerita tentang asal-usulku dan bagaimana aku tiba-tiba tersesat di rumahnya.

"Lah... Jauhnya kau tersesat, nak. Kasihan betul kau. Pakcik pun tak berapa pasti jalan ke tempat kau tu. Tak apalah, esok pagi kita cari siapa-siapa penduduk kampung ni yang tahu. Malam ni, kau berehat dululah. Mesti kau penat berjalan jauh. Lepas tu, ubat luka-luka kau dulu. Masih teruk lagi luka kau tu?"

"Dah makin baik, pak cik. Luka-luka pun dah makin mengecut."

"Cuba pak cik tengok sikit kesan gigitan di leher kau tu, nak."

Aku terus membuka lilitan pada leher dengan sebelah tangan. Kesan gigitan yang semakin mengering itu aku tunjuk pada Pak Ghazal.

"Baguslah. Walaupun luka tu dalam, tapi dah mengering. Kau letak ubat yang pak cik ajar pada kau tu ya, Indra?" kata Pak Ghazal lagi. Aku balut semula leherku dengan sebelah tangan. Tapi kerana tanganku sedikit kekok, Indra yang sudah habis makan terus sahaja membantu aku membalut leherku.

Pada mulanya aku menolak tangannya bersama gelengan kepala. Tapi apabila Indra berbisik "Sudah, biar aku tolong," aku menyerah sahaja. Ekor mataku menjeling kepada Pak Ghazal dan Mak Indang yang duduk di hadapan kami. Masing-masing tersenyum simpul. Buat aku tersipu malu pada mereka.

"Iya, pak cik. Kalau tidak lukanya terus-menerus keluarkan darah. Darahnya tak henti-henti keluar."

"Patutlah mak cik nampak muka Asha ni pucat saja. Kurang darah rupanya. Makan banyak sedikit, nak. Ini, makan ikan ni banyak-banyak. Makan- makan," kata Mak Indang seraya meletakkan seekor ikan lagi ke dalam pingganku.

"Eh, tak apa, mak cik. Saya dah kenyang."

"Makanlah. Lepas makan nanti mak cik ubatkan luka kamu tu, ya?" kata Mak Indang lagi sambil tersenyum. Aku hanya mengangguk dan mengucapkan terima kasih.

Aku memandang ke arah Indra sedang meneguk air teh dengan muka serius di sebelah. Aku mencebik. Pak cik dan mak ciknya amat ramah dan baik hati, tetapi anak saudaranya, hurmm... Macam hantu! Dahlah dingin, garang tak bertempat pula itu.

Kali ni i nak bagi hadiah. What if kita achieve vote sampai 125 and I akan hadiahkan youall double update. Ya, I akan publish 2 chapters sekali gus apabila story dapat vote  sebanyak 125. Cun tak?

Full of love;
Jupiter

TERSESAT KE ALAM BUNIANWhere stories live. Discover now