CHAPTER 11: SELAMAT MALAM, INDRA.

9.8K 545 10
                                    

"Kau rehat dulu. Aku panaskan lauk sekejap," kata Indrawan setelah memapah aku ke katil. Satu bekas daun dan bunga putih itu diletakkan di atas meja di sebelah katilku. Aku mengangguk lemah lalu berbaring di atas katil. Selamatlah aku sempat mandi dan membasuh segala lumpur yang penuh  pada tubuh di sungai tadi. Jadi apabila sampai ke rumah, bolehlah aku terus tidur.  Indrawan berlalu dan terus masuk ke dapur. Aku hanya melihat belakang tubuhnya dari katil.

"Kau jangan risau. Selagi kau di sini, aku akan jaga kau."

Terngiang kata-kata Indrawan di sungai tadi. Aku tersenyum sendiri. Entah mengapa, kata-kata itu cukup menenangkan. Aku rasa selamat di sini.

"Aku tahu kau rindu keluarga kau. Sudah empat hari kau hilang. Mereka mesti sedang mencari kau. Mereka mesti risau tentang kau."

Keluarga aku risau tentang aku? Aku tersenyum pahit. Siapa yang akan risau tentang aku? Aku tiada sesiapa. Selama beberapa tahun ini, aku cuma hidup sendiri. Aku cuma bernasib baik kerana aku mendapat biasiswa untuk sambung belajar dan selama inipun, aku gunakan duit hasil dari ladang kelapa sawit arwah ibu.

Tapi, entah kenapa sekarang aku rasa seperti ada orang yang jaga aku seperti ibu jaga aku. Aku cuma menumpang di sini, tapi hati aku selesa di sini. Lebih selesa berbanding ketika aku tinggal di rumah kerana di rumah, terlampau banyak kenangan yang lebih membuat hati aku galau.

Aku betul-betul berterima kasih padanya. Walaupun sekejap dan aku akan pergi dari sini, aku tidak akan lupakan budi baiknya padaku selama aku di sini.

"Asha! Asha!" tiba-tiba Indrawan menjerit dari dapur. Dah kenapa terjerit-jerit pulak dia ni? Bisik hatiku. Aku yang sudah memejamkan mata terpisat-pisat bangun dari tempat tidur.

"Ada apa?"

"Kau tak panaskan ayam ni, ya? Tengok ni, dah basi!" jeritnya lagi dengan kening yang berkerut dan bercantum. Di tangannya terdapat periuk berisi sup ayam pagi tadi.

Aduhh! Aku menepuk dahi. Memanglah aku tidak panaskan. Bukankah aku sudah beritahu dia yang aku tidak tahu hendak guna kayu api itu? Hari pun sudah larut malam, memang basilah ayam itu.

Aku lupa pula yang Indrawan ni kaki membebel. Kalau dia membebel, memang kalah ibu aku. Hurmmm... Habislah, Indrawan akan membebel teruk malam ni!

..........

"Kau ni memang tak boleh haraplah!" marah Indrawan lagi. Tangannya mencuit ubi rebus di dalam pinggang dan dimasukkan ke dalam mulut. Aku menjeling lelaki di hadapanku itu. Serasa aku, sejak dari dia merebus ubi sampai sekarang, dia tidak habis-habis membebel.

"Kan saya dah kata, saya tak tahu nak hidupkan api tu. Dahlah tu, janganlah marah lagi," kataku perlahan sambil jariku menguis-nguis ubi rebus di dalam pinggan. Tekakku terasa loya dan tawar. Aku memang tiada selera makan malam itu. Tambah pula dengan si pakcik yang kuat membebel. Memang malas aku hendak melayan si kaki bebel ini. Matanya menjeling tajam padaku. Aku cuma buat tidak tahu.

"Cepat makan. Lepas habis makan nanti, masuk tidur. Dah lewat malam ni," kata Indrawan lagi. Tapi kali ini nadanya sudah seperti biasa. Tidak marah dan menjerit seperti tadi lagi. Aku hanya mengangguk malas.

Kesan gigitan pontianak di leherku rasa berdenyut-denyut lagi. Aku menyeringai kesakitan sambil menekup leher. Kain balutan di leherku terasa lembap. Mungkin darah mengalir lagi.

"Sakit lagi?"

Aku mengangguk perlahan.

"Kenapa tak makan? Aku penat masak ni."

"Saya tak ada selera. Saya nak tidur dulu, boleh?"

"Kau pucat sangat ni. Makan dulu sedikit. Biar tubuh kau bertenaga."

"Saya tak larat sangat. Saya nak masuk tidur," ujarku perlahan. Matanya masih merenung dalam anak mataku.

"Mari, aku tolong," katanya lalu memapah aku ke katil. Jarinya yang besar itu menggenggam jemariku, menolong aku untuk bangun dari kerusi.

"Eh, badan kau panas ni," katanya apabila mengenggam jemariku yang panas itu. Sekali lagi kepalaku terdongak apabila belakang tangannya melekap ke dahiku.

"Iyeke?"

"Kau demam lagi ni," katanya lagi. Satu keluhan berat dilepaskan. Memang sejak dari tadi aku rasa satu badan tidak keruan. Rasa panas dan menggigil.

"Baring dulu, aku buatkan bubur," katanya setelah membaringkan aku ke atas katil. Aku terus menarik lengan bajunya.

"Tak payahlah, awak. Saya tak nak makan. Saya betul-betul tak ada selera. Saya cuma nak tidur je. Awak pergilah tidur. Awak penat dari pagi bekerja. Esok nak pergi kerja lagi," ujarku. Kalau dia terus-menerus bersusah-payah begini, aku akan semakin serba-salah pada dia.

"Aku pergi ambil air tuaman. Tuam dahi kau tu," katanya lagi lalu menarik tanganku dari memegang lengan bajunya. Dia terus menuju ke dapur.

Beberapa minit kemudian, Indrawan datang kembali bersama mangkuk berisi air dan sehelai kain putih. Dia terus duduk di sebelah katilku.

Indrawan merendam kain di dalam air dan memerah lebihan air dari kain itu. Selepas itu, kain itu dilipat-lipat menjadi segi empat sebelum diletakkan di atas dahiku.

Aku terus-menerus melihat dia. Entah kenapa aku rasakan wajahnya mendung saat itu.

"Awak kenapa?"

"Kenapa apa?"

"Kenapa awak... Nampak sedih?" soalku bersama kerutan di dahi. Dia cuma terdiam dan hanya meneruskan kerjanya.

Takkanlah dia risaukan aku? Hahaha, kau buat lawak! Hatiku berbisik sendiri. Ohhh, mungkin dia teringat sesiapa ataupun apa-apa yang menyedihkan hatinya. Aku ini siapa? Cuma orang yang menumpang rumahnya seketika.

"Dah, tidur," bisiknya perlahan setelah merapikan  kain basah itu di dahiku. Aku sempat tersenyum padanya sebelum dia mengangkat punggung bangun dari kerusi. Dia terus ke meja makan dan mengemas meja.

"Eh, awak tak makan?" soalku.

Indrawan hanya terdiam dan terus mengemas meja makan. Dia terus ke dapur membawa pinggan dan cawan yang kotor. Seketika kemudian, dia muncul kembali di depan dapur sambil mengelap tangannya. Mungkin sebentar tadi dia membasuh pinggan dan cawan yang kotor itu.

"Selamat malam, Indra," ujarku separuh menjerit saat dia menaiki tangga menuju ke tingkat atas.

Seakan-akan tidak mendengar ucapanku tadi, dia terus menaiki tangga tanpa menjawab ucapanku ataupun menoleh padaku. Dasarrr...

TERSESAT KE ALAM BUNIANWhere stories live. Discover now