CHAPTER 54- KEPUTUSAN BODOH

6.1K 382 46
                                    


BAMM!!!

Satu bunyi yang kuat kedengaran. Bunyi yang bagaikan menarik aku semula ke alam realiti. Hilang segala bayangan silam yang hampir sepuluh tahun berlalu. Aku terus mendongakkan kepala, mencari dari mana datangnya bunyi itu.

"Indra..."

Aku menekup mulut, seakan tak percaya dengan apa yang berlaku. Mulutku ternganga dan bibirku menggeletar hebat. Mataku membulat melihat Indra sedang terbaring di tepi satu batu besar. Tubuhnya berdarah-darah. Keadaannya terlampau teruk sampai aku sendiri tak mampu untuk memandangnya. Aku rasa Mustafa telah hempaskan tubuh Indra ke batu besar itu.

"Indra!!!"

Dalam kesakitan, Indra berpaling melihatku. Dia berusaha menahan kesakitan lantas tersenyum kepadaku. Air mataku sekali lagi tumpah saat pandangan mata kami bertemu. Tanganku kuat menggenggam kain, berusaha menahan segala keperitan melihat dia kesakitan begitu. Aku mahu berlari mendekatinya dan merangkul tubuhnya, tapi tubuhku bagaikan lumpuh dan tak mampu untuk bergerak apabila melihat keadaannya begitu.

Tiba-tiba Mustafa mendekatinya lalu dia mencengkam leher Indra. Tubuh Indra dijulang dengan sebelah tangan hingga dia terapung.

"Kau nak lihat aku bunuh dia?" Soal Mustafa kepadaku.

"Jangan! Tolong... jangan bunuh dia!"

"KAU NAK LIHAT BAGAIMANA AKU BOLEH SIKSA DIA?"

"Tolong, Mustafa! Tolong, jangan. Aku merayu sangat pada kau. Jangan buat dia macam tu."

"Jadi kau tahu kan apa yang aku mahu?" Soal Mustafa lagi. Dia tersenyum senget dan sinis.

Aku terdiam seribu bahasa. Kedua kepala lutut aku genggam kuat. Tubuh Indra yang terkulai lemah itu aku renung dalam-dalam.

Hidup aku... memang tak ada apa-apa. Aku dah tak ada sesiapa lagi. Selama ni aku cuma berusaha untuk melangkah ke hadapan sendirian. Tiada sesiapa yang tahu tentang aku. Dan yang paling jelas, tiada siapa yang sayangkan aku. Tak ada siapa yang akan faham bagaimana rasanya hidup sendirian. Aku tak boleh balik langsung ke rumah ibu. Tak ada sesiapa yang akan terima anak pembunuh macam aku balik ke kampung tu! Mereka semua takut dengan aku. Mereka semua benci dengan aku! Kalau sebelum ni aku dibuli kerana aku pemalu, budak lembap, tak ada sesiapa nak berkawan dengan aku. Tapi selepas kejadian itu, aku dibuli kerana aku anak seorang pembunuh!

Dan pertama sekali aku jumpa Indra. Ya, dia memang lelaki dingin. Ada masa aku memang annoying dengan dia. Tapi dia yang paling care dengan aku. Pertama kali dia jumpa aku, sejak tu dia jaga aku dengan baik. Aku dapat rasakan kasih seorang ibu tatkala aku bersama Indra.

Dan yang paling penting, aku cintakan dia! Cintakan dia sangat-sangat!

Aku menutup mata dan menarik nafas panjang. Setitik air mata jatuh dari tubir mataku.

Tiba-tiba aku mendapat satu akal. Akal yang paling gila, yang paling bodoh dan yang paling bangang.

"Baiklah. Aku akan ikut kau. Aku sedia jadi isteri kau selamanya. Tapi tolong lepaskan dia..."

"Asha..." kedengaran suara serak milik Indra. Aku terus membuka mata dan melihatnya. Lehernya masih dicengkam kuat oleh Mustafa.

Aku bangun dan berjalan menghampiri mereka. Pandangan sayu milik Indra aku balas dengan pandangan yang tiada perasaan. Aku kuatkan hatiku dan aku berusaha untuk tidak menangis sekarang ini.

"Tolong... lepaskan saya. Ini yang terbaik untuk kita semua..." ucapku sambil melihat matanya.  Aku gigit hujung bibir tatkala aku tahan air mataku dari mengalir keluar. Aku genggam erat jari-jemari di sisi tubuh.

"Asha..."

"Sebenarnya... saya benci awak! Benci awak sangat-sangat! Dari awal awak tipu saya! Sebenarnya awak tak pernah nak selamatkan saya, kan? Sebenarnya awak yang seru saya untuk datang sini, kan? Kalau bukan sebab awak, saya takkan sampai sini. Awak memang nak jadikan saya korban untuk selamatkan kampung awak! Itu memang tujuan sebenar awak! Awak tipu saya hidup-hidup! Sebab tu saya lari dari kampung. Sebab saya benci awak sangat-sangat!"

"Awak baliklah. Balik kepada keluarga awak. Saya tak perlukan awak pun. Saya tak boleh hidup dengan orang yang menipu saya! Lagipun awak dengan saya lain. Kita dari dua dunia yang berbeza! Tak mungkin untuk kita bersama."

"Jadi... kau nak hidup... dengan... orang yang akan hambakan kau? Kau tipu aku... tak... kau tipu aku..." Soal Indra tersekat-sekat. Dia menggeleng-gelengkan kepala berkali- kali.

"Saya bukan hamba dia! Saya akan jadi isteri dia! Daripada saya hidup dengan awak, dan saya akan dijadikan korban untuk kampung awak. Apa gunanya kalau dengan awak pun saya akan mati? Saya nak hidup selama-lamanya," jawabku lagi. Aku berusaha mengawal riak muka sebaik mungkin. Indra terdiam melihatku. Wajahnya sayu, dia seakan tidak percaya dengan apa yang aku luahkan.

Mustafa ketawa sinis. Tubuh Indra langsung dicampak ke tepi lalu berjalan menghampiriku. Tiba-tiba tubuhku dirangkul kedakapannya. Rambutku dirapikan dan diselitkan ketepi telinga. Aku mengalihkan pandangan ke sisi seraya jariku menggenggam kuat hujung baju menahan segala perasaan yang bergolak.

Tahan, Asha. Tahan! Ini bukan yang engkau nak. Tapi apa lagi pilihan yang kau ada? Takkanlah kau nak melihat orang yang paling kau sayang berkorban dan mati untuk kau sekali lagi?

Tahan, Asha!

"Kau memang buat pilihan yang terbaik."

"Jangan sentuh dia..." sayu kedengaran jeritan Indra. Aku pantas menutup mata, menghalang dari air mata mengalir keluar.

"Indra.... aku cinta kau sangat-sangat! Terlalu cintakan kau! Aku cuma nak kau tahu yang aku cintakan kau sangat-sangat!" Hatiku menjerit.

"Sayang..." panggil Mustafa. Tangannya masih merayap di wajahku. Aku menahan perasaan sehabis baik untuk tidak menendangnya. Dia ingat kelakar ke? Dengan tangan berbulu dan kasar tu main-main kat muka aku?

"Jadi kau bersetuju untuk kahwin dengan aku?"

Aku tersenyum penuh manis.

"Ya."

"Bila kau akan kahwin dengan aku?"

"Secepat mungkin."

"Secepat mungkin?" Mustafa terkejut mendengar jawapanku. Dia kemudiannya tersenyum.

"Ya. Saya nak jadi isteri awak secepat mungkin."

Mustafa menayangkan senyuman kemenamgan. Dia terus mendekatkan wajahnya ke leherku. Aku mengalih dari wajahnya.

"Tapi saya nak dia pergi dari sini secepat mungkin. Saya benci dia. Saya benci tengok wajah dia. Saya tak nak dia ada dekat sini."

"Ouhhh... jadinya kau berkorban untuk dia? Sebab itu kau sanggup jadi isteri aku?" Mustafa tergelak sinis. Aku terus memaut lehernya kemas-kemas.

"Apa yang awak merepek ni? Takkanlah saya buat macam tu. Dia tu banyak sangat tipu saya. Dari awal dia tak pernah jujur. Dari awal dia memang nak bunuh saya. Saya lari dari kampung tu pun sebab saya tahu saya ni bakal untuk dijadikan korban. Sekurangnya, awak takkan bunuh saya, kan? Awak pun dah janji untuk cintakan saya sorang je, kan? Apa salahnya kita mulakan hidup baru, lupakan segalanya dan hidup bahagia selama-lamanya. Saya rasa saya akan hidup bahagia selama-lamanya dengan orang yang betul-betul cintakan saya," ucapku lagi. Aku tersenyum semanis mungkin.

Mustafa tersenyum mendengar kata-kataku. Pada mulanya wajahnya tergambar rasa pelik, tapi selepas itu dia terus merangkul pinggangku. Sempat aku mengerling Indra yang masih terbaring lesu. Dia sudah berpaling ke kiri dan langsung tidak melihat aku.

Aku tahu hatinya remuk. Tapi apa lagi yang boleh aku lakukan. Cuma keputusan bodoh ini saja yang aku ada.

TERSESAT KE ALAM BUNIANWhere stories live. Discover now