CHAPTER 64-HARI PERNIKAHAN

8.1K 450 51
                                    

Majlis yang ditunggu-tunggu telahpun tiba iaitu majlis perkahwinan aku dan Indra. Malam tadi, aku sempat bermandi bunga dan berinai. Dan pagi ini, aku dihias begitu cantik untuk pernikahan.

Untuk majlis pernikahan, aku memakai baju kebaya panjang berwarna putih bersama dengan kain songket. Manakala untuk majlis bersanding, sepasang baju kebaya berwarna merah telah disediakan untukku.

Sebenarnya, sudah tiga hari aku tak bertemu dengan Indra. Ibu benar-benar mengawal pertemuan kami. Ibu kata pasangan bakal pengantin tak elok berjumpa ketika hampir waktu pernikahan. Kerana itu, Indra disuruh tinggal di rumah lain, iaitu di rumah jiran sebelah. Hahahaha, sampai macam tu sekali.

Aku betul-betul rindukan dia. Aku dah tak sabar nak berjumpa dia pagi ini. Aku asyik terbayang wajahnya ketika hari pernikahan. Dan aku asyik teringat bagaimana pertemuan awal kami dahulu. Setiap kali teringat, mesti aku ketawa sendiri.

"Solekan sudah siap," kata mak andam memecahkan lamunanku. Aku tersenyum melihat diri di dalam cermin.

"Cantiknya anak ibu. Tak sangka anak ibu kahwin hari ni," kata ibu yang sedang duduk di sisiku.

"Terima kasih, ibu."

"Kenapa pula berterima kasih pada ibu. Sepatutnya ibulah yang harus berterima kasih pada Asha. Sebab Asha sudi terima Indra." Aku tertunduk malu mendengar kata ibu.

"Asha."

Aku menoleh ke arah suara itu. Kelihatan Hawa sedang berdiri sambil tertunduk di tepi pintu.

"Hawa! Masuklah! Buat apa berdiri kat situ," panggilku. Hawa seakan serba-salah sama ada mahu masuk atau tidak.

"Kenapa, Hawa? Masuklah," kata ibu pula.

Tiba-tiba Hawa datang dan melutut di hadapanku. Tanganku digenggam erat tangannya.

"Aku datang... aku datang nak mintak maaf. Aku yang salah. Aku... aku tak patut tipu kau tentang jalan keluar dari kampung ni. Aku dah perangkap kau untuk pergi ke tempat petapa tu. Maafkan aku, Asha. Aku betul-betul bersalah pada kau," luah Hawa sambil menangis-nangis.

"Tak apalah, Hawa. Semua tu dah lepas. Saya pun dah maafkan awak."

"Betulkah ni?"

Aku menganggukkan kepala dan tersenyum.

"Aku betul-betul takut kalau kau masih marahkan aku. Dah lama aku nak jumpa kau, tapi aku takut."

"Tak ada apa yang perlu ditakutkan. Sudahlah, lupakan semua tu."

"Maksudnya, aku boleh jadi kawan kau, kan?"

"Mestilah boleh."

Hawa terus memeluk aku. "Terima kasih, Asha. Kau memang baik. Terima kasih."

"Rombongan pengantin lelaki dah sampai!" Terdengar laungan dari luar bilik.

"Ha, dah sampai tu. Mari keluar."

"Mari, Asha."

Kami keluar dari bilik. Kelihatan Indra sudah berada di tengah ruang tamu. Dia berpaling ke belakang, sempat menghadiahkan aku satu senyuman manis. Lesung pipitnya terlekuk indah di pipi.

Aku mengambil tempat di belakang Indra, diiringi bersama ibu di sebelah. Tanganku yang sudah sejuk beku digenggam erat oleh ibu. Hilang sedikit rasa gabra dan gementarku.

"Sejuknya tangan kau," usik ibu. Aku tertawa kecil.

"Semua sudah sedia?" kata seorang lelaki berumur awal 50-an yang duduk di hadapan Indra. Aku yakin dialah tok kadi yang akan menikahkan kami.

"Pengantin perempuan?"

Aku mengangguk perlahan.

"Baiklah." Tok kadi terus menyalam tangan Indra. "Indra bin Zakaria."

"Saya."

"Aku nikahkan dikau dengan Puteri Ashanty binti Muhammad Luqman dengan mas kahwin sebentuk cincin emas."

Indra diam. Aku terus mengangkat wajah melihatnya. Kelihatan dia tertunduk. Sebelah tangannya menggengam erat jemari.

"Aku ulang sekali lagi. Aku nikahkan dikau dengan Puteri Ashanty binti Muhammad Luqman dengan mas kahwin sebentuk cincin emas."

Jantungku berdebar kencang tatkala melihat Indra masih tertunduk. Terdengar bunyi bisik-bisik dari tetamu yang hadir. Aku menoleh ke arah ibu yang duduk di sebelahku. Wajah ibu turut tampak risau.

Pak Ghazal yang duduk di sebelah Indra menyentuh bahunya. Kelihatan Pak Ghazal berbisik-bisik kepada Indra.

Indra berpaling ke belakang, melihatku. Aku bagaikan faham akan pandangannya. Setitik air mataku sudah jatuh ke bumi. Aku menggelengkan kepala perlahan.

Tolonglah, Indra. Jerit hatiku.

Indra berbicara sebentar dengan Pak Ghazal dan tok kadi. Setelah tok kadi mengangguk, Indra berpusing menghadapku.

"Asha, aku nak cakap sebentar dengan kau," bisik Indra perlahan. Aku melihat ke arah ibu. Ibu cuma mengangguk dan tersenyum nipis.

Aku bangun dan mengikutinya meninggalkan ruang tamu dan masuk ke bilikku. Tapi, aku bagaikan sudah tahu apa yang dia cuba katakan.

"Cantiknya kau..." ucap Indra perlahan. Tangannya mmenyentuh lembut wajahku yang sudah tertunduk dengan linangan air mata. ".... Sayang."

Aku mengangkat wajah, melihatnya. Terlihat satu titik air mata di tubir matanya.

"Kau memang sesuai dengan warna putih. Sebab itu aku berikan selendang putih pada kau waktu itu," sambungnya lagi.

"Kenapa? Kenapa awak buat macam ni?"

"Aku tak tahu. Yang pastinya aku terlalu cintakan kau."

"Harini patut jadi hari yang paling bahagia untuk kita."

"Tapi aku takut aku akan menyesalinya."

"Saya takkan menyesal. Sebab ini adalah keputusan saya. Awak dah beri saya peluang untuk buat keputusan, kan?"

Indra terus memelukku.

"Aku tak boleh, Asha. Aku tak boleh. Aku tak mahu rampas lagi kehidupan kau. Ada satu hakikat lagi yang kau tak tahu. Kalau kau kembali ke dunia kau, kau takkan ingat apa-apa lagi tentang kehidupan di sini. Kau takkan ingat apa-apa. Kau akan bahagia di sana, sayang."

"Saya akan lupa awak?"

"Itu yang terbaik. Kau takkan bahagia kalau kau ingat aku."

"Sampai hati awak..."

Tubuhku dilepaskan dari pelukannya. Air mataku dilap denga hujung jarinya.

"Kau pulanglah. Teruskan perjuangan hidup kau. Ada janji yang telah kau buat pada ibu kau, kan? Kau mahu berjaya dalam hidup kau, kan? Kau mahu buktikan bahawa anak seorang pembunuh juga boleh berjaya. Betul? Pergilah. Teruskan cita-cita kau."

"Indra..."

"Aku akan kenang kau dalam setiap nafasku," sebentuk cincin disarungkan ke jari manisku. Setelah itu, jariku dikucup, lembut dan lama. Setitik air matanya jatuh dari matanya terus ke celahan jemariku.

Pagi itu, aku menangis semahuku.

TERSESAT KE ALAM BUNIANWhere stories live. Discover now