51. Terhakis

100 5 0
                                    




Hana banyak menghabiskan waktunya memerhati Damia walaupun Okka melarangnya. Tambahan pula Okka tidak terlalu bertegas dengan katanya dan itu membuatkan dia ingin lebih mengenali Damia.

"Damia tak lapar?" soal Hana, melihat makanan Damia tidak bersentuh langsung. "Damia tak suka makanan yang saya masak?" soal Hana lagi apabila Damia tidak berkata apa-apa. Damia juga enggan memandangnya. Duduk sahaja dipenjuru paling jauh daripadanya.

"Kenapa awak berdiam diri, Damia? Kalau awak tak beritahu saya tak akan faham" ujar Hana lagi. "Okka cakap kefahaman saya tak sama seperti orang lain sebab itu saya hanya duduk di sini. Saya tak faham maksud Okka, tapi saya pasti ini antara satunya"

Hana duduk bersila dengan kepalanya bertongkatkan tangannya. Secara umumnya dia tahu Damia tengah bersedih, tetapi atas sebab apa itu yang dia tidak ketahui.

Damia berfikir seketika. "Awak tak rasa perbuatan Okka ini salah?"

Hana tersenyum lebar apabila Damia akhirnya mahu berbicara. "Salah? kenapa pula? ini apa yang Okka selalu lakukan. Bezanya, Damia sahaja yang dia letakkan dipenjara ini."

Damia menoleh, dahinya berkerut dengan kata-kata Hana. Adakah gadis itu bermain dengannya? adakah dia tidak mempunyai empati atau simpati?

"Dia culik saya, Hana! Dia ambil saya daripada orang yang saya sayang. Dia penjarakan saya di sini" Damia sedaya upaya menahan sedunya.

"Orang yang awak sayang?"Hana duduk tegak. Damia ada orang yang dia sayang seperti dirinya. "Adakah Just orang yang awak sayang?"

Damia mengangguk, "Justin... Abang saya. Okka pisahkan saya daripada mereka"

"O, itu tak baik. Saya tak suka kalau Okka berpisah daripada saya," Hana termangu, akhirnya dia memahami serba sedikit punca kesedihan Damia. "Tuan tak culik saya tetapi dia selalu buatkan Okka pergi meninggalkan saya untuk jangka masa yang panjang. Saya tahu Okka terpaksa sebab Okka pun sayang saya. Jadi Okka ni tak ubah seperti Tuan? pada awak?"

Kata-kata Hana mengundangkan kehairanan dan kejengkelan kepada Damia. Damia tidak percaya yang Hana terlalu polos untuk tidak memahami perkara itu. "Awak permainkan saya?" Perbualan bersama Hana seperti dejavu, hasilnya sama sahaja. menyakitkan hatinya.

Hana pantas menggeleng. "Tak, saya tak permainkan Damia."

"Pergi!" jerkah Damia. Dia mencampai segala apa yang dapat dicapai dan dilontar ke arah Hana walaupun perbuatannya sia-sia tetapi cukup untuk membuatkan Hana terkesima. "Pergi dari sini! Pergi!"

"Hana balik ke bilik"

Hana menoleh ke arah Okka yang baru tiba. Hana mencekak pinggangnya, "Siapa Okka nak mengarah saya ni?" soal Hana geram, terbatal niatnya untuk menuruti kehendak Damia.

"Hana Densho tolong balik ke bilik" ulang Okka tetapi dengan memanggil nama penuh Hana dan lebih bertegas. Dia tidak ada masa untuk bertekak dengan kembarnya.

Hana memuncungkan mulutnya, geramnya masih menebal tetapi langkahnya tetap disusun meninggalkan ruangan itu.

Okka memerhati sahaja Hana yang pergi dengan rasa tidak puas hatinya. Mata dikalih memandang Damia yang berpeluk tubuh, berpaling daripada menghadapnya. Dia mengeluh melihat makanan tidak dijamah, air tidak bersentuh.

"Maafkan Hana. Hana tidak mempunyai logik seperti orang lain. Dalam hidupnya hanya ada saya. oleh itu, norma bagi dia tidak sama dengan awak" ujar Okka.

Hana memiliki tubuh yang lemah dan oleh sebab itu sepanjang hayatnya, Hana hanya hidup bersembunyi di istana tersebut. Tidak dibenarkan bergaul dengan sesiapa kerana itu akan menyakitkannya dikemudian hari. Hanya Okka, kembar yang lebih kuat, yang mempunyai kekuatan untuk meneroka dunia luar.

ROYALIZEWhere stories live. Discover now