55. Berjumpa

40 3 1
                                    

-Imbas Semula-

-tiga hari selepas kehadiran Damia di kediaman Densho-

Hana terbaring di atas katilnya sambil memandang langit silingnya. Dia baru sahaja balik daripada meluangkan masanya bersama Damia. Walaupun hakikatnya gadis itu tidak suka dengan kehadirannya. Tetapi dia tidak ambil kisah tentang perkara itu.

Ada dua insan yang sering dipanggil oleh Damia iaitu Justin dan abangnya. Itu cukup untuk mengundang rasa ingin tahunya. Dia ingin mengenali seseorang yang digelar Justin dan abang. Apa keistimewaan kedua-dua insan itu kepada Damia?

Justin pastinya bukan keluarga Damia. Dia sekian maklum bahawa Damia hanya memiliki seorang abang, tiada adik-beradik yang lain. Tetapi dia tidak mengetahui namanya, Damia tidak pernah sesekali menyebutnya. Hanya satu yang dia pasti, nama keluarga mereka, Royalize. Royalize apa ya? adakah namanya hampir serupa dengan nama Damia? Damin? Darwin? Daniel? Dallas? Mungkin jauh berbeza seperti dia dan Okka? Orlando Royalize pun sedap juga disebut.

Pelbagai persoalan dan jawapan yang muncul dikotak fikirannya. Terlalu banyak sehingga perlahan-lahan membawanya jauh ke alam mimpi.

Hana terlena di peraduannya.

-

"Royalize..." gumam Hana tanpa sedar.

"Siapa?!" seseorang menjerkah mengejutkan Hana.

Mata Hana terbuka dan membulat, dia bangun terpisat-pisat kehairanan. Suara siapa yang membangunkannya. Dia tidak pernah mendengarnya.

"Siapa yang memanggil?" sekali lelaki itu bersuara.

Sekeliling Hana tidak kelihatan apa-apa, hanya kabus mengisi setiap inci ruang lantas membataskan penglihatan. Sedarlah Hana, dia hanya bermimpi kerana dia pasti dia berada di biliknya kali terakhir dia sedar. Itu cukup memberi keberanian untuk membalas persoalan itu. "Bukan saya!"

"Bukan awak?" suara itu menyoalnya kembali, kali ini suaranya kedengaran semakin hampir. "Tapi itu suara yang memanggil saya"

Hana termangu, adakah dia ada bersuara sebelum itu. Anehnya dalam penglihatan terhad, dia nampak sesusuk tubuh menghampirinya. Nampak serupa seperti Okka. "Wah!"

Milik suara itu akhirnya berdiri dihadapannya. Hana tergamam, Terasa rahangnya jatuh sedikit kerana memang ada iras Okka. Rambut perang dan mata biru yang sememangnya sama. Tambah ternganga mulutnya dipelut erat oleh lelaki itu secara tiba-tiba. Dia terpaku. Tidak pasti apa yang perlu dilakukan. Ini mimpi?

"Puteri! Abang rindu puteri" sedih nada lelaki itu menutur katanya. "Mana puteri pergi? Abang cari puteri di merata tempat tapi abang tak jumpa."

Wah! bisik hati Hana. Adakah ini okka di masa akan datang? tapi dia tidak pernah memanggil Okka  sebagai abang. Bahkan untuk Okka memanggilnya sebagai puteri pun merupakan satu perkara yang terlalu aneh.

Mata Hana terbeliak, dia pasti dia mengenali lelaki itu. "Abang?!" Dia menolak tubuh Daniel sekuat tenaganya meleraikan pelukan erat, dia ingin melihat jelas wajah orang sering ditutur oleh Damia. "Abang Damia?"

Daniel mengesat air matanya yang membasahi pipinya. Baru dia sedari, gadis itu bukan adiknya. Gadis itu hanya memiliki wajah yang seiras adiknya. Bezanya gadis itu nampak lebih matang. "Siapa awak?"

"Saya Hana. Adakah awak Royalize?" soal Hana tanpa membuang masa.

Daniel mengangguk. "Awak kenal Damia? Adik saya?"

"Ya..."

"Awak tahu adik saya berada di mana?" Daniel pantas menyoal, memintas jawapan daripada gadis itu. Tangannya memegang bahu Hana, mahu sahaja dia memaksa gadis itu menjawab persoalannya dengan lebih pantas.

Hana merenung Daniel. Lelaki itu nampak sangat terdesak tetapi kesedihannya masih kelihatan. Satu perasaan yang dia pelajari daripada pemerhatiannya ke atas Damia. "Siapa nama awak?"

Mereka bertentangan mata. Hana tidak berganjak daripada persoalannya. Setia menunggu Daniel menjawab.

Daniel melepaskan pegangan. Gadis itu tidak menjawab persoalannya. "Di mana Damia?" Dia juga enggan berganjak daripada persoalannya.

Hana merenung lelaki itu. Adakah ini betul-betul mimpi? Tetapi mustahil baginya bermimpi seseorang yang tidak pernah dilihat. Mindanya tidak dapat mengolah sesuatu yang dia tidak pernah dikenali. Atau lelaki ini olahan mimpi dan mengambil acuan daripada saudara kembarnya. "Siapa nama awak? Adakah ini mimpi?"

Mimpi? Daniel terpaku. Tetapi dia tidak terasa dia bermimpi. Semua terasa nyata. Hana yang disentuhnya terasa legap dipegangannya sebentar tadi. Ya, dia terbaring di biliknya yang berada di Featherave. Air matanya mengalir lagi. Harapannya musnah, petanda yang disangka akhirnya muncul musnah.

Daniel berpaling. Sekali lagi jiwanya dilanda bandai, dia meraung kepiluan. Kali ini air matanya mengalir lebih deras. Puterinya terlalu lama berjauhan tanpa sebarang khabar berita. Hatinya terlalu pedih mengenang sebarang kebarangkalian yang terjadi atas kesayangannya.

Hana sekadar memerhati, dia cuba memahami perasaan lelaki itu. Tapi dirinya terlalu naif dalam perkara yang melibatkan jiwa. Dia menyaksikan kepiluan lelaki itu sebelum semuanya hilang tanpa dia sendiri menyedarinya.

-Bilik Hana-

Cahaya matahari daripada balkoni magik menerangi kamar Hana. Hana melihat langsir jendelanya berkibar-kibar. Angin magik yang dihasilkan oleh Okka atau alatan magik, dia sendiri tidak tahu. Pagi ini tidak seperti semalam. Dia tidak rasa dirinya berehat pun walaupun sudah tidur secukupnya. Kudratnya lemah.

Kalendar yang berada di tepi katilnya dicapai. Tarikh menerima benang-benang baru masih jauh tetapi kenapa tenaganya berkurangan dalam kadar kelajuan yang tak sepatutnya?

Anak matanya membentuk simbol goldsilv tidak sempurna. Dia melihat benang-benang magik disekelilingnya. "Wah" gumam Hana. Terdapat sebahagian besar benang perak berlilit dengan benang emas di sekitar biliknya. Satu sentuhan memusnahkan benang tersebut menandakan ia benang kesan penggunaan magik.

"Maksudnya..." Hana berfikir sejenak. "Semalam bukan mimpi?" Tiada apa yang lain daripada kebiasaan melainkan mimpi semalam. Dia kembali teringat lelaki yang berwajah sayu.

"Adakah dia adalah abang Damia?" Lelaki semalam mengaku dirinya adalah Royalize. Hana mengeluh. Sayangnya, lelaki itu tidak menjawab persoalannya. Andailah dia mengetahui namanya, pasti rasa ingin tahunya tidak menyeksanya seperti sekarang.

"Tak apalah. Bukan tak ada peluang lagi" Yakin dia mengungkapkan.

-Bilik Pewaris Featherave-

Daniel bangun dengan seluruh tubuhnya terasa sakit. Semalam tidakla pula dia berasa sakit seperti itu.  "Adeh!" kepalanya terasa sakit.

Dia cuba memegang kepalanya namun dia menyedari tangannya memegang erat sesuatu. Dengan kudrat yang berbaki melawan sakitnya kepala, dia membuka matanya.

"Vin?" Daniel bersuara dalam kehairanan. Kenapa pergelangan tangan Marvin dalam tangannya? "Apa yang aku dah buat.

Marvin yang tidur terduduk di tepi katil bangun terpisat-pisat. "Apa?"

"Apa yang kau buat di tepi katil aku?" soal Daniel. Terasa kepalanya cuba membunuhnya tetapi rasa ingin tahu lebih menyeksakan.

"Kau meracau semalam, kau tarik tangan aku dan selepas tu asyik tanya di mana Damia" Marvin menjawab dengan mindanya sibuk mengimbas kembali kejadian semalam. "Kau pegang erat jugalah. Aku tak boleh lepaskan tangan aku, jadi aku tidur sini je lah."

Dahi Daniel mengerut seribu. Meracau? dia meracau? "Arghh!" Daniel mengerang kesakitan.

"Tolong panggil Sconne. Kepala aku rasa nak pecah" pinta Daniel, dia memegang kepalanya. Dari mana datangnya kesakitan yang dialaminya? Kenapa terlalu menyakitkan.


ROYALIZEWhere stories live. Discover now