💎57💎

4.1K 409 5
                                    

Aku berkurung di dalam bilik. Pada ketika semua sedang menghabiskan masa di ruang tamu rumah Min Hyuk, aku mengambil kesempatan ini untuk berehat dan melapangkan minda. Sambil berbaring, aku membuka telefon. 

"Huh..." Aku mengeluh perlahan. Betulkah apa yang aku lakukan ini?

"Hailey!" Telefon terbuka dan wajah seseorang terpapar pada skrin. Aku hampir melepaskan telefon ke atas muka akibat terkejut. Rupa-rupanya, Lady Beatrix menelefon aku.

Aku bangkit dari perbaringan. Sebenarnya, aku ragu-ragu untuk menghubungi beliau. Tidak sangka, beliau pula yang menelefon aku.

"Ya, Lady Beatrix?" Soalku, naif. Jelas air muka beliau berubah.

"Justin beritahu saya yang awak nak tukar jadual. Berikan saya alasan yang kukuh, cik Chanson." Lady Beatrix bercekak pinggang di hadapan skrin. Keningnya dijongketkan sebelah.

Segenap sudut bilik itu aku pandang serius. Aku sedang berfikir, bagaimanakah untuk memberikan penerangan kepada cik muda di hadapan kami ini?

"My lady, tahu tak serangan terhadap kami hari itu?" Mulaku dengan pancingan.

Lady Beatrix terkejut memandangku. Matanya cuba untuk mencari kejujuran dariku agar tidak mengubah topik.

"Serangan apa? Saya tahu Aesthetic Sketch kena serang. Tapi kumpulan kalian? Justin tidak cakap apa-apa pun." Ujar Lady Beatrix sebelum memikirkan sesuatu. "Oh, yalah. Justin itu tadi cara dia cakap dengan saya macam nak marah saja. Dia geram sangat dengan kumpulan dia sampai lupa nak beritahu perkara penting." Sambungnya lagi sambil menggeleng kecil.

Aku turut menggeleng. Justin sudah berubah sedikit sejak berada dalam kumpulan kami ini. Barangkali lelah dengan ahli yang berbagai-bagai kerenahnya.

"Kami kena serang dengan pemilik magis muzik kastenet. Saya bernasib baik kerana Lydia bersama saya. Jikalau tidak, kami akan pulang ke sekolah dalam keadaan cedera. Hujan kastenet sangat bahaya, my lady.  Jarang orang nak buat macam tu." Ulasku padanya. 

"Saya anggap, itu Lilac. Saya nak sesi ziarah menziarahi ini selesai dengan cepat. Semua ini demi rakan-rakan saya juga. Saya sayang mereka. Saya tidak mahu mereka tercedera disebabkan saya." Aku berkata lagi, perlahan. Membayangkannya sahaja sudah cukup perit.

Lady Beatrix memandang aku dengan pandangan redup. Dia juga tahu apa yang aku lalui selama ini. Sebagai pengusaha sekolah-sekolah elit, dia haruslah mengambil berat tentang anak-anak muridnya. Terutamanya yang seorang di hadapannya kini.

"Tapi, risiko tu, Hailey. Saya tidak mahu sekiranya puteri kami disakiti. Apa nasib Ochestra World tanpa awak nanti?" Soal Lady Beatrix yang mana mendatangkan seribu satu tanda tanya.

"Puteri? Nasib Ochestra World? Apa maksud cik?" Tanyaku ingin tahu. Ada lagikah yang aku tidak tahu berkenaan keluargaku?

Adakah ini ada kena mengena dengan Hudson iaitu Jeremie La Muzika yang mengintip keluarga diraja dan kerajaan dunia ini? Kata-kata 'kerajaan yang kotor' sering diulanginya di dalam surat yang tiba di rumah kami pada suatu masa dahulu.

Lady Beatrix terdiam lalu menampar pipinya berkali-kali. Nampaknya, dia sudah tercakap sesuatu yang tidak harus diperkatakan.

"Ah tak ada apa-apalah Hailey. Saya- Saya tersilap saja. Oh lagipun, kalau sudah berada di Malaysia, tidak salah juga kalau terus ke Singapura." Lady Beatrix memberi cadangan yang bernas.

Benar juga. Kebetulan negara Lydia dan senior Talha sebelah-sebelah. Lagi mudahlah kerja aku nanti!

"Boleh! Terima kasih my lady. Akan saya usulkan pada kumpulan saya nanti." Tuturku dengan bersemangat. Yeah, aku tidak sabar!

Lady Beatrix menguntum senyuman manis. Gayanya seperti bangga dengan aku yang bersungguh-sungguh dalam mencari kebenaran. 

~~~~~~~~~

Awan putih berarak menghiasi langit biru nan cerah. Bangunan yang cantik binaanya tersergam indah di pusat negara tersembunyi bernama CrystalVale. Negara yang langsung tidak ada di dalam peta dunia. Namun, semua penduduk Ochestra World sedar akan kewujudan negara ini. Negara inilah yang menempatkan kerajaan utama yang mentadbir Ochestra World.

Pasar Moorpond, pasar yang sering dipenuhi penduduk di CrystalVale. Hudson, pembantu khas diraja, diberikan waktu luang untuk bersiar-siar di sini. Sementara itu, ada pembantu lain yang bakal menggantikan tempatnya.

Pakaiannya ditukar dan wajahnya pula disembunyikan di sebalik hoodie. Sekiranya rakyat melihatnya dalam pakaian sebagai staff diraja, pasti akan dianggap buruk jikalau dia terpaksa melakukan sesuatu di luar jangkaan. Contohnya, terpaksa berlawan dengan seorang ahli Lilac yang mengenalinya.

Sambil berjalan, matanya melilau melihat suasana pasar itu. Manalah tahu ada rezekinya menyoal seorang tua yang sudah lama menetap di negara ini. 

Deringan telefon miliknya mengejutkannya. Cepat-cepat dia mengambil telefon tersebut dan mengangkat panggilan.

"Zeur." Ujarnya menggunakan bahasa CrystalVale. Dia tidak sempat melihat sang gerangan yang menelefon.

"Monsieur Jeremie, ini Beatrix." Suara di hujung talian mengenalkan dirinya. Serta merta satu senyuman tersungging di bibir Hudson.

Dia mencari sebuah tempat yang sedikit tersembunyi. Rimbunan pohon yang berada di belakang pasar menjadi sasarannya. Segera dia berbisik. "Ada apa, my lady?"

"Hailey kan..." Lady Beatrix membiarkan ayatnya tergantung.

Hudson tidak menjawab. Dia membiarkan Lady Beatrix menghabiskan kata-katanya dahulu sebelum bersuara. Jika ini sesuatu berkenaan anak terakhir keluarga Chanson itu, memanglah harus diambil serius.

"Dia sudah mahu bertindak. Lilac semakin menjadi-jadi. Saya... risau. Cukuplah kerajaan ini rosak dengan tadbiran seorang penipu. Jangan anak pemimpin sebenar kita, hilang diculik Lilac. Ada apa-apa yang dapat Zamrud kecapi sekarang?" Lady Beatrix bersuara resah. 

Senyuman kecil terbit di bibir Hudson. Bukan dia tidak risau, namun dia berasa terhibur pula apabila mendengarkan hasrat si kecil Chanson.

"Jangan risau. Saya dah dapat sentuh rahsia kerajaan sedikit. Lagipun, kita ada bantuan daripada Katheriane." Balasnya gembira. Langsung tiada kerisauan dalam nadanya.

"Tapi Hailey-"

"Jangan risau my lady. Lydia kan ada. Dia itu terlatih. Kita masih belum ada berita tentang Lilac di dalam sekolah." Potong Hudson yakin. 

Keluhan kecil dilepaskan Lady Beatrix. Dia pasrah sekiranya pengintip keluarga diraja berkata sebegitu.

"Bagaimana dengan Keane dan Halley? Tuan Hilaire Chanson?" Tanya Lady Beatrix lagi berkenaan keluarga tersebut.

"Saya sudah hantar surat. Logan ada bersama mereka. Jangan risau." Hudson menjawab sambil memandang sekeliling. Risau juga sekiranya ada yang terdengar perbualan mereka.

Kedua-duanya mendiamkan diri. Tiada lagi yang harus dibualkan rasanya.

"Lagipun, lepas Le Musique Concurrence, Muzika Melodia akan adakan party akhir tahun kan? Masa tu, bolehlah saya jumpa awak. Rindu." Hudson bertutur manja.

"Ish, apa rindu-rindu? Saya bukannya rapat dengan awak pun." Tukas Lady Beatrix dengan nada serius. Walaupun begitu, dia sedang tersipu-sipu di sebelah sana.

Hudson tersengih sendiri lalu meminta diri. Sudah habis masanya dengan berbual sahaja. Kini, kerjanya harus disambung semula di istana.

Muzika MelodiaWhere stories live. Discover now