Part 61 - Petunjuk

26.2K 1.7K 268
                                    

Ain Amani segera membuka mata. Siling mewah yang terukir cantik terlakar di ruang mata. Tiada lagi persekitaran yang penuh dengan belukar atau semak samun. Dia kini berada di dalam bilik tidurnya.

Mimpi kali ini lebih dasyat dari mimpi yang pernah dia alami sebelum ini. Zuhairie dibunuh dengan kejam oleh seseorang. Dan orang yang datang itu ialah orang yang sama. Mimpi-mimpi ini bagaikan mengganggu setiap tidurnya yang lena.

"Mimpi lagi?"

Suara serak seseorang menyentakkan Ain. Dia menoleh memandang Zuhairie yang sedang memeluknya dari arah belakang. Samar cahaya dari lampu tidur membolehkan dia menatap wajah lesu Zuhairie. Sebelah tangan lelaki itu menongkat kepala.

Satu perasaan yang sukar diungkap menjentik tangkai hati. Perasaan yang bercampur baur. Antara takut, risau, sedih, gembira dan gementar bergabung menjadi satu apabila melihat wajah kacak lelaki itu.

Dalam keadaan dia mengandung dan lingkaran tangan sasa di pinggangnya, menyukarkan Ain untuk memusingkan badan menghadap Zuhairie. Setelah berjaya, tubuh suaminya dipeluk erat. Seperti tidak mahu melepaskan lelaki itu pergi.

Air mata tidak dapat ditahan lagi. Bersyukur kerana semua itu hanyalah mimpi dan mainan dalam tidur semata-mata. Zuhairie masih hidup tanpa ada sebarang darah pada pakaian kini berada di hadapannya. Tiada langsung kesan cakaran atau gigitan pada tubuh suaminya. Semuanya baik-baik sahaja.

Ain menghamburkan segala tangisan di dada bidang milik Zuhairie. Terhinjut-hinjut bahunya menahan sebak yang bertamu di hati. Zuhairie terpana.

Namun, tetap membalas pelukan isterinya. Dia tahu Ain trauma sekarang ini. Bayangan yang sering menghantui Ain tak lain tak bukan berkaitan dengan dirinya. Terasa baju tshirt yang dipakai basah di bahagian dada. Dia mengucup lembut kepala Ain bagi menenangkan gadis itu.

Setelah Ain semakin tenang, dia menjarakkan diri. Sisa air mata dilap oleh jemari kasar Zuhairie. Kucupan hinggap pada kedua belah mata Ain yang sembab kerana menangis tadi.

"Mimpi tentang apa pula kali ni?" Soal Zuhairie lembut sambil merenung sayu ke dalam mata Ain. Mata itu menceritakan semuanya. Hanya melalui mata itu dia dapat tahu apa yang tersirat di dalam hati isterinya.

"Ain mimpi abang kena bunuh. Ain tak nak kehilangan abang. Ain tak boleh hidup tanpa abang. Nanti anak kita macam mana? Ain tak nak dia lahir tanpa ayah. Ain nak abang ada di sisi masa Ain lahirkannya nanti" air mata yang bergenang mengaburkan pandangannya. Menunggu masa untuk turun membasahi bantal yang menjadi alas kepala.

"Shuuu... It's just a bad dream. Mainan tidur saja tu" Zuhairie berbicara seperti sedang memujuk kanak-kanak berusia 5 tahun yang merengek kerana mimpikan hantu. Dia berbuat demikian supaya Ain percaya itu hanya mainan syaitan dalam tidur. Dia tak nak Ain berfikir terlalu banyak sehingga boleh memudaratkan kesihatan serta bayi dalam kandungan.

Dia sedar emosi Ain sekarang tidak stabil. Ditambah pula dengan pembawakan budak dalam perut. Masalah 'overthinking' dalam setiap diri wanita sedikit sebanyak dipengaruhi oleh mimpi tersebut.

"Tapi, dalam tu macam betul-betul berlaku depan mata sayang. Abang dibunuh dengan kejam sekali. Mimpi ni macam nak bagi petunjuk. Sayang rasa macam ada benda buruk akan berlaku. Mimpi sebelum ini pun lebih kurang. Manusia yang muncul dalam mimpi tu orang yang sama" Ain menceritakan panjang lebar. Tak ubah seperti anak-anak kecil yang takut untuk tidur seorang diri.

Zuhairie terdiam. Pelukan pada tubuh Ain dieratkan lagi. Tak tahu bagaimana mahu menenangkan Ain Amani. Dia tahu dan kenal siapa manusia yang dimaksudkan oleh wanita itu. Maksudnya, lelaki kejam itu telah muncul dalam mimpi Ain untuk menakutkannya.

Dia VampireWhere stories live. Discover now