DSPC : 4

50.4K 2.3K 27
                                    

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi.

Kesyukuran pada yang Esa mewarnai sanubari mereka semua. Kapal terbang yang dinaiki oleh mereka berempat sebentar tadi sudah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi. Penerbangan itu hanya mengambil masa kira-kira 45 minit sahaja.

Mereka berempat mula berpusu-pusu keluar dari perut kapal terbang bersama para penumpang yang lain. Senyuman pramugara dan pramugari di dalam kapal terbang itu saling bertukar ganti. Dalam kadar segera, mereka bertempat mula menuju ke  ruangan bagasi bagi mengambil beg bagasi kepunyaan masing-masing sebelum dikebas orang.

"Suha ikut Isyraf ambil beg kita ya?"

"Kamu jangan salah ambil beg orang lain pula, kang merana orang tu nanti beg dia hilang. Kamu ambil beg kita berdua je, tau sayang."

Sempat lagi Puan Amelia berceloteh. Wajah anaknya yang berada di belakang dirinya ditoleh sekilas sebelum isyarat tangan diberikan agar anaknya segera berlalu bagi mendapatkan Isyraf Nazran.

Ilya Nasuha yang membuntuti langkah mamanya dari arah belakang lantas memberi isyarat jemari 'OK' tanda faham. Dia terus mengejar remaja lelaki itu yang sudah berada jauh di hadapan di dalam kesesakan orang ramai.

"Mana dia ni?"

"Tak nampak pun dia dari tadi."

"Ish, takkan hilang kot!"

"Ke sebenarnya aku yang dah hilang?"

Ilya Nasuha panik. Anak matanya semakin membulat besar bagi mencari kelibat remaja lelaki itu. Kakinya pula sudah terjengket-jengket di tengah orang ramai. Akibat genetik keluarga yang sedikit rendah, ia telah menyukarkan dirinya agar terus bergerak. Tapi jika hendak membahas tentang genetik keluarga, Iman Naim, abangnya itu elok sahaja tinggi melangit.

"Ish, mana dia ni?" Rungutnya.

Dalam masa yang sama, hatinya mula berdebar. Bagaimana jika dia hilang dari pantauan mama? Bagaimana jika dia tidak berjumpa dengan remaja lelaki itu? Adakah selepas ini dia akan hidup merempat di bumi Langkawi? Fikirannya itu sudah jauh melalut.

Dengan tidak semena-mena, kedua belah bahunya itu dipegang erat lalu ditarik kasar dari arah belakang. Setapak dan seterusnya beribu tapak Ilya Nasuha berjalan mengundur mengikut tiap pergerakan tersebut.

Dia hanya mengikut sahaja genggaman erat yang sedang membawanya keluar dari kesesakan manusia yang makin memenuhi kawasan mengambil bagasi. Mungkin orang yang memperlakukan dirinya sedemikian adalah remaja lelaki itu, andainya.

Genggaman di bahunya semakin terasa erat. Tubuh kecilnya itu lantas dibalikkan. Kepalanya terus sahaja didongak bagi memandang seraut wajah itu. Anak mata mereka berdua terus sahaja bertembung lama. Perlahan-lahan remaja lelaki itu melepaskan pegangan kejap pada bahunya.

Kini, Ilya Nasuha mula mengenali remaja lelaki itu sedikit demi sedikit melalui perwatakannya. Apa yang dia dapat simpulkan sekarang ini adalah remaja lelaki ini lebih bersifat introvert dan tidak terbuka. Dia dapat mentafsirkan perkara ini setelah dirinya ini meneliti gaya lelaki ini, senyap lelaki ini, perwatakan kasar lelaki ini dan senyuman manis dari bibir mungil lelaki ini.

'Eh Suha.. wait a minute!'

'Bila masa dan ketika pula yang kau nampak dia senyum? Mamat ni tak pernah lagi senyum depan kau, tau.'

Kepalanya digeleng seraya jari-jemarinya menepuk kepalanya beberapa kali. Dia masih belum melihat senyuman remaja lelaki itu. Bagaimana dia boleh memasukkan senyuman itu di dalam senarainya sebentar tadi?

Isyraf Nazran hairan. Badan tinggi lampainya itu membongkok sedikit bagi merenung gadis itu. Kepalanya disengetkan sedikit. Pandangan pelik lantas diutarakannya tatkala terlihat gadis itu yang sudah tergeleng-geleng di tengah orang ramai sambil sepasang matanya tertutup rapat.

DIA SI PEMBEKU CINTA : COpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz