DSPC : 22

25.9K 1.4K 31
                                    

Isyraf Nazran berdiri betul-betul di tengah bumbung rata sekolah SMK Putera Mirzan Shah. Langkah kakinya yang sedari tadi menapak akhirnya terhenti jua. Kepalanya ditundukkan, menekur lantai simen bumbung rata itu. Keluhan berat akhirnya terluah jua dari bibirnya. Wajahnya yang semakin gusar itu diraupnya beberapa kali hingga rambutnya menjadi semakin terseksa tidak terurus.

Dirinya terasa lelah dan letih akan semua ini. Semakin hari, semakin banyak masalah yang dia lalui di sekolah ini. Mengapa dia masih belum menjumpai keserasian di sekolah ini? Adakah sebenarnya dia masih merindui akan sekolah lamanya? Merindui rakan-rakan yang berada di sana?

Dulu, bumbung rata ini yang menjadi tempat bagi Ilya Nasuha meluahkan rasa benci terhadap dirinya, tika ini dirinya pula yang turut serta. Patutlah gadis itu memilih tempat ini, ia punya rasa yang tersendiri.

"Ahhhhhhh!!"Jeritnya sekuat hati.

Perasaan frustasi yang sudah lama dia pendam di lubuk jiwanya itu akhirnya dilepaskan jua. Kemesraan di antara Ilya Nasuha dan Zariff Isaac kembali terlayar di ruangan mata. Jiwanya ini makin dirobek tatkala memikirkannya.

Itulah lelaki. Ego setinggi gunung. Jika kau suka seseorang, cakap sahaja suka. Tidak perlu hendak memendamkan rasa, nanti diri kau juga yang merana di kemudian hari.

Dia terus berbaring di lantai simen itu. Kedua belah tangannya didepangkan pula. Tangan kanan yang berbalut itu sudah tidak sakit lagi kerana hatinya ini lebih jauh sakit.

Sepasang mata hazelnya itu dibuka dengan luas. Awan biru yang terbentang di atas langit sana membuatkan dirinya terpegun buat seketika. Angin laminar yang lembut menderu menyapa tubuhnya membuatkan dia sedikit terbuai asyik.

"Ilya Nasuha."

"Kau sempurna."

Ya, gadis itu sangat sempurna. Gadis itu sangatlah sempurna untuk melengkapi kekurangan di dalam dirinya ini. Dia berasa senang tatkala berada di samping gadis itu.

Namun, mengapa ketika dia mula hendak berasa tenang, ada buaya darat yang mengganggu? Jika lelaki itu menjadi buaya darat, aku mampu menjadi naga bahkan serigala demi merebut cinta.

"Aku jatuh cinta, Ilya Nasuha."

Akhirnya, perasaan yang selama ini dipendam diluahkannya jua. Namun tidak pada gadis itu, hanyalah sekadar omelannya sahaja. Dia masih belum yakin adakah dia benar-benar mencintai gadis itu atau ia hanyalah perasaan cemburunya sahaja.

"Il...ya Nasu...ha...."

Nama gadis itu disebutnya dengan meleret. Nama itu sungguh indah, indah sekali sehingga mampu mencairkan tembok hatinya yang membeku selama ini.

"Ilya Nasuha, aku minta maaf."

"Aku suka kau."

'Kreeek....'

Kedengaran bunyi pintu kecil yang menuju ke bumbung rata itu terbuka. Bunyi pintu yang sedang terbuka itu kedengaran begitu nyaring sekali di cuping telinganya. Isyraf Nazran terus sahaja bangun lantas berdiri tegak.

Dia terus berpaling ke belakang bagi melihat siapakah gerangan yang sedang membuka pintu tersebut. Kacau daun betul lah, waktu dia hendak meluahkan rasa bersaksi Yang Esa jugalah manusia ni nak muncul. Terjegul wajah Aina Manirah di balik daun pintu.

"Eh.. ah.. hmm sorry, sorry.. salah tempat." Gadis itu merangkap pengawas sekolah pantas menarik daun pintu itu kembali. Dia juga sudah berkira-kira untuk segera berlalu pergi.

"Baru aku nak check kot-kot ada budak ponteng, jumpa budak tiga suku tu pulak!" Omelnya perlahan.

Langkah kakinya segera diaturkan agar dia berlalu pergi dari bumbung rata itu. Dia tidak mahu jika hendak berurusan dengan pelajar lelaki itu, minta dijauhkan. Cukuplah hanya Ilya Nasuha sahaja.

DIA SI PEMBEKU CINTA : CWhere stories live. Discover now