DSPC : 63

20.5K 1.1K 21
                                    

"Tahniah!"

Ilya Nasuha dan Isyraf Nazran sudah terkesima akan ucapan tahniah itu. Ucapan tahniah itu ditujukan buat gerangan siapa sebenarnya? Mana mungkin kepada mereka berdua sekarang ini? Tepukan gemuruh yang bergema dari tepukan abang-abang dan kakak-kakak fasilitator itu makin membuahkan mereka menjadi tertanya-tanya. Apa yang sedang berlaku pada mereka?

"Tahniah adik berdua. Korang berdua orang pertama yang jumpa pasangan sendiri." Ucap seorang kakak fasilitator yang bernama Zila.

Ilya Nasuha dan Isyraf Nazran hanya terkedu. Pandangan mereka bersatu buat ketika. Tahniah buat mereka?

"Pertama?"

Soalan itu serentak terpacul keluar dari mulut mereka berdua. Masakan mereka mampu percaya, kesemua peserta di kem ini sahaja sudah melebihi 100 orang, masakan mereka akan menjadi pasangan pertama yang memenangi pertandingan ini? Macam tidak logik dek akal pun ada sekarang ini.

Kak Zila sudah tayang senyum tatkala melihatkan dua raut wajah itu yang jelas sekali sedang bingung. Dia kemudian menganggukkan kepala seraya mengiyakan bagi menyakinkan pasangan itu lagi.

"Nampak? Cakap pun serentak, mesti dah jodoh ni. Sama cantik, sama padan pula tu." Ucap Kak Zila lagi. Bibirnya sudah tidak lekang dengan senyuman buat gadis itu.

Ilya Nasuha pula sudah tersipu malu mendengarkan kata-kata dari kakak fasilitator yang familiar dengan nama Kak Zila itu. Jika benar dirinya ini bakal berjodoh dengan Isyraf Nazran di masa hadapan, ingin sahaja dia berjoget lambak sekarang ini. Isyraf Nazran yang berada di sisinya pula hanya menayang senyum sinis tapi manis.

"Korang main tipu. Buka penutup mata kan?" Tanya seorang abang fasilitator dikenali sebagai Joe dengan sinisnya.

"Tak. Dia yang cari saya, dia yang jumpa saya. Mata dia ada penutup." Ilya Nasuha pantas menafikan. Dia terus menerus menggelengkan kepala bagi menidakkan kata-kata abang fasilitator itu. Mengapa tiba-tiba sahaja abang fasilitator itu ingin menafikan kebenarannya?

"Kau pasti?"

"Entah-entah mamat ni dah buka penutup mata dia. Bila dia nampak kau, dia baru pakai balik."

"Kau masih nak percaya dia ke? Game ni usually lebih 2 jam pun tak akan jumpa pasangan sendiri."

Joe masih begitu. Bukan apa, dia sudah menjadi fasilitator di dalam permainan ini sudah cukup lama. Dia tahu selok belok dan helah yang digunakan oleh setiap peserta. Oleh sebab itu, dia masih berusaha untuk menaikkan amarah api di dalam sekam.

"Tak puas hati?" Isyraf Nazran pantas sahaja bertanya. Nada suaranya itu kedengaran bergetar di hujungnya. Pasti amarah seorang Isyraf Nazran sedang memuncak naik sekarang ini.

Ilya Nasuha segera menahan. Lengan milik lelaki itu pantas diraihnya. Jika terlepas, pasti peperangan di antara remaja lelaki itu dan abang fasilitator ini bakal tercetus. Maklumlah, Isyraf Nazran pantang sahaja dicuit, pasti akan menyala marahnya jika dia dituduh dengan benda yang tidak benar akan dirinya. Kau masih boleh bertahan dengan lelaki yang baran?

Joe tersenyum jengkel. Dari dia berbaring, dia terus melabuhkan duduknya pula. Pandangannya kini tajam menikam anak mata Isyraf Nazran yang berada di hadapannya itu.

"Kenapa budak? Nak gaduh?"

Isyraf Nazran hanya tayang senyum sinis mendengarkan kata-kata itu. Lengan baju hoodie yang dipakainya itu sudah ditariknya hingga paras siku. Kepala dipusingkan ke kiri dan ke kanan seraya kedengaran bunyi tulang meletup. Jari jemari pula sudah dipatah-patahkan menandakan dia sudah bersedia untuk bergaduh dengan lelaki itu. Gaya Isyraf Nazran sekarang ini seperti sudah bersedia untuk bertomoi sahaja.

DIA SI PEMBEKU CINTA : CNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ