DSPC : 70

21K 1K 4
                                    

Pintu pagar sekolah SMK Putera Mirzan Syah yang tinggi setinggi pagar penjara pudu sudah tertutup rapat. Isyraf Nazran membuka pintu itu dengan lagak malas. Helmet jenama Arai yang tersangkut di lengan kirinya terus diletakkan di tepi pondok pengawal. Pengawal yang sedang merenung dirinya dari dalam pondok pengawal itu dikerlingnya sekilas.

'Apa pandang pandang?'

'Macam seumur hidup tak biasa datang lewat ke sekolah pulak.'

Langkah kakinya dimajukan seiring dengan nafasnya yang lelah. Jam di pergelangan tangan menjadi santapan matanya pula.

9:00 pagi.

Separuh langkah kakinya yang longlai itu berjaya melewati blok-blok bangunan sekolah. Kelihatan bangunan SMK Putera Mirzan Syah itu mulai sepi apabila kesemua kelas sedang menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Hanya kelihatan dirinya sahaja yang masih termangu-mangu mencari dewan sekolah.

Kaki jinjang miliknya itu akhirnya berhenti daripada melangkah. Kali ini dia sudah berdiri betul-betul di hadapan muka pintu dewan. Nafasnya dihela perlahan lantas pintu dewan itu ditariknya. Kesemua mata penghuni di dalam dewan itu terus tertumpu kearahnya dan turut serta guru yang sedang menjaga peperiksaan juga berpaling menghadapnya.

Isyraf Nazran buat tidak endah dengan pandangan itu. Dengan langkah yang longlai, dia terus berjalan menuju ke mejanya. Kerusi terus ditarik lalu diduduki olehnya.

Dari kejauhan, sepasang anak mata bundar milik Ilya Nasuha asyik sungguh menjamah diri lelaki itu satu per satu. Riak wajah remaja lelaki itu beriak biasa namun masih tampak sedikit sedih padanya. Mungkin lelaki itu masih sedih dengan perkara yang berlaku semalam, duganya.

'Isy dah sembuh ke dari luka di hatinya tu?'

"Isyraf Nazran!!" Panggil Cikgu Zahira, ketua bagi guru peperiksaan dengan lantang.

Namun suaranya itu sedikit pun tidak mengerunkan pelajar lelaki itu. Sebaliknya pelajar lelaki itu hanya berpaling padanya dengan dagu yang ditopang. Riak wajah pelajar lelaki itu sungguh kelihatan bersahaja sekali seperti dirinya itu tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Isyraf Nazran Bin Tan Sri Syamreez!!!"

Nama penuh pelajar lelaki itu pula menjadi sasaran untuk Cikgu Zahira menyebutnya pula. Suara guru wanita itu sudah bergema kuat di dalam dewan peperiksaan ini. Semua pelajar tingkatan 5 kelihatannya sudah mula diam menikus tatkala guru wanita yang sedang menjaga peperiksaan itu sudah mula menyinga.

"Tahu tak sekarang pukul berapa?!"

"Waktu menjawab peperiksaan mula pukul 8 tapi sekarang dah pukul 9 baru nampak batang hidung!"

Cikgu Zahira lantang sahaja menjerkah sambil bercekak pinggang. Dirinya turut memberi pandangan sinis pada pelajar lelaki itu yang bermaksud siap kau, aku kerjakan pakai rotan bulu ayam ini nanti.

Pelajar lain yang sedang menjawab peperiksaan itu sudah hilang sedikit konsentrasi apabila suara guru wanita itu sungguh kuat bergema di dalam dewan peperiksaan ini. Guru peperiksaan yang lain pula hanya buat tidak peduli kerana yang memarahi pelajar lelaki itu adalah ketua mereka sendiri. Untuk apa mereka menegakkan benang yang basah?

Isyraf Nazran buat bodoh. Pandangannya terus sahaja dilempar ke arah pelajar lain yang sedang tekun menjawab peperiksaan. Kedua belah tangannya pula dimasukkan ke dalam poket seluar. Badannya terus disandarkan pada kerusi tanda dirinya ini sedang mogok dan tidak mahu untuk mengambil peperiksaan percubaan itu.

Cikgu Zahira geram. Perilaku pelajar lelaki itu benar-benar mencabar integriti dirinya sebagai seorang guru wanita yang penuh disiplin dan tanggungjawab. Dia terus menapak ke arah Isyraf Nazran. Kasut tumit tingginya sudah kuat berbunyi menandakan api kemarahan guru wanita itu juga sedang menjulang naik. Dia terus berdiri di hadapan meja pelajar lelaki itu.

DIA SI PEMBEKU CINTA : Cजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें