DSPC : 11

33.8K 1.7K 24
                                    

Malam kelihatan begitu pekat sekali. Butir bintang jelas bertaburan di dada langit menghiasi malam yang seakan kelam. Pemandangan itu direnung oleh Isyraf Nazran. Dia menghembus nafasnya selari dengan kedinginan itu.

Kelihatan awan hitam mula berarak menutupi keterangan sang bulan. Bayangan bulan dan bintang lantas sahaja dikaburi oleh sang awan. Keadaan menjadi semakin kelam, seperti hatinya tika ini. Memori pahit itu lantas terimbas kembali ke dalam kotak fikirannya sekali lagi.

"Mama!"

"Mama, pandang lah Isy...."

"Mama...."

"Please........"

Lengan ibu ditarik oleh si anak kecil itu beberapa kali. Dia mahukan perhatian sepenuhnya daripada si ibu terhadap dirinya. Lengan itu ditariknya lagi tanpa lelah.

"Ya Isy? Mama sibuk kan ni. Mama nak jahit baju raya. Ada apa Isy kacau mama ni?" Tanya si ibu sambil mengerling sekilas si anak kecil yang berada bersebelahannya tika ini. Segaris senyuman terbit di bibirnya saat mata mereka bersatu. Lalu, kerja menjahit yang tergendala itu lantas disambung semula.

Si anak kecil itu sudah mula menarik muncung tanda protes dengan reaksi si ibu yang masih tidak mengendahkannya. Lengan si ibu ditariknya berkali-kali tanpa lelah. Dia sangat mahukan perhatian yang lebih daripada si ibu saat ini.

"Ya sayang. Ada apa ni?"

Kerana kesungguhan si anak kecil itu, akhirnya si ibu turut mengalah. Lantas dia berpaling memandang anak kecil itu yang masih berada di sisinya. Kerja menjahit sebentar tadi diabaikan buat sementara waktu. Kini, perhatian diberikan sepenuhnya kepada anaknya itu.

"Laye taon ni kan, ite pakai baju raye wane pe ma?" Dengan pelat yang masih ada, anak kecil itu mula bertanya. Direnung wajah si ibu tanpa lepas menantikan jawapan yang bakal dilontarkan melalui mulut manis itu.

"Warna gold sayang. Kenapa?" Kepala anaknya itu diusap oleh si ibu dengan penuh kasih. Walaupun dia seakan bingung dengan pertanyaan itu yang secara tiba-tiba. Selama ini, dia tidak pernah peduli mengenai tema baju raya, mengapa tahun ini dia seakan gembira pula?

"Same wane ngan papa!"

Si anak lantas tersenyum dengan penuh girang. Dia bertepuk tangan sambil melompat-lompat dengan penuh gembira. Si ibu hanya terkedu dengan reaksi itu. Tiada sebarang balasan daripadanya. Yang ada hanyalah air mata yang berjuraian jatuh di pipi. Lantas ia membuatkan si anak terkejut.

"Maa... Nape nanesh ni?"

Anak kecil itu sudah tidak tentu arah melihatkan wajah si ibu yang sudah dibasahi dengan air mata. Dia memandang wajah ibunya lama. Dicuit tubuh si ibu untuk cuba memujuk daripada terus menangis. Namun, ia seakan hampa kerana si ibu masih bersama tangisnya yang panjang.

"Isy, kamu tahu tak kenapa mama tengah nangis sekarang ni?"

Pantas anak kecil itu menggeleng kepala tanda tidak mengetahui. Retina matanya tidak dikalihkan dari terus menantap wajah si ibu. Tidak berkerdip sedikit pun anak matanya itu dari terus memerhatikan si ibu yang masih menangis.

"Papa kamu, dia tu lelaki tak guna. Lelaki dayus. Dia ceraikan mama waktu mama lahirkan Isy!"Jerit si ibu dengan begitu kuat. Dia cuba melepaskan pekung di dada. Lalu, ditekup mukanya menggunakan tapak tangan. Badannya pula sedikit terhingut menahan sendu yang semakin galak. Saat perihal lelaki itu mula bermain di dalam diri, dia pasti sakit dengan situasi itu.

Si anak hanya senyap. Apa yang dikatakan oleh ibunya sebentar tadi sukar untuk difahami. Namun begitu, dapat dia rasakan bahawa ibunya menyimpan satu luka yang teramat pedih. Satu luka yang telah membuatkan ibunya sangat benci akan ayahnya.

DIA SI PEMBEKU CINTA : CWhere stories live. Discover now