DSPC : 79

23.3K 1.2K 35
                                    

Kesejukan pendingin hawa yang mulai mencengkam ke tulang rusuk hitam terus menyedarkan Isyraf Nazran dari lenanya yang lama. Tenaganya yang hilang entah kemana cuba jua untuk dia kerahkan. Dengan perlahan-lahan, dia bangun lalu bersandar di kerusi empuk itu. Matanya cuba diluaskan bagi memastikan penglihatannya jelas dan tidak kabur.

"Allah."

"Aku tertidur."

Sepasang anak mata hazelnya itu lantas sahaja menatap akan meja kerjanya pula. Meja kerja itu sudah penut dengan fail fail yang bakal djsemaknya. Namun, sekeping surat dan tisu itu kepunyaan siapa? Dengan kadar segera, sekeping surat itu terus dicapai lalu diamati isinya. Semua yang tercatat di surat itu adalah jadualnya pada hari ini. Sungguh padat sekali. Tisu pula dicapainya selepas itu. Dia terus sahaja tersenyum saat sebaris ayat itu dibacanya di dalam hati.

"Sayang jugak Ilya kat aku?"

Tisu itu terus disimpankannya ke dalam poket seluar dan serta merta riak wajahnya berubah kerut. Bagaimana gadis itu mengetahui bahawa dirinya ini baru sahaja lepas dari menangis? Dia masuk bilik inikah? Oh gosh! Mesti gadis itu perasan akan kepingan gambar yang dipegangnya tadi.

Isyraf Nazran sudah mula gelabah. Segera interkom di atas mejanya ditekan dan disuruh supaya gadis itu masuk ke dalam biliknya dengan kadar segera.

"Ada apa ya?" Suara Ilya Nasuha lembut sahaja menusuk ke gegendang telinga di saat gadis itu sedang berdiri berhadapannya.

"Duduklah."

Ilya Nasuha akur. Dia segera melabuhkan duduk di kerusi berhadapan tuannya itu. Sepasang anak matanya sedari tadi tidak lepas dari memandang wajah tuannya itu. Kenapa tiba-tiba sahaja tuannya itu memanggil dirinya? Ada hal mustahak tentang urusan kerjakah?

Isyraf Nazran sedikit resah. Dia mengigit bibir bawahnya kerana kurang senang akan panahan mata gadis itu. Mengapa gadis itu merenungnya sedemikian rupa? Adakah kerana gadis itu telah mengetahui bahawa dirinya ini adalah Isy?

"Boleh aku tanya?"

Gadis itu hanya mengangguk sepi. Tiba-tiba sahaja tuannya ini hendak bertanya, mahu bertanyakan apa dengannya?

"Siapa yang duduk sebelah rumah kau?"

Pertanyaan dari tuannya itu membuatkan dia sedikit berkerut. Mungkin sewaktu dalam perjalanan bagi mengambil dirinya, Tuan Naz telah melihat rumah kosong yang bersebelahan dengan rumahnya. Namun dia malas untuk memanjangkan cerita, pertanyaan dari tuannya itu terus dibalasnya.

"Kawan mama saya." Jawapnya perlahan.

Wajah Aunty Sherlina terus sahaja menerpa di ruangan mata. Adakah Aunty Sherlina dalam keadaan yang baik-baik sahaja sekarang ini? Jujur, sudah bertahun-tahun dia tidak jumpa akan ibu tua itu. Ini kerana ibu tua itu sudah lama pergi meninggalkan mereka sekeluarga setelah anaknya turut sama pergi meninggalkan dirinya.

"Nama dia apa?"

"Aunty Sherlina."

Sebaris nama itu membuatkan Ilya Nasuha tersenyum senang. Dia suka akan rakan mamanya itu. Aunty Sherlina terlalu baik orangnya dan murah dengan senyuman. Dan dulu, ibu tua itulah yang sering dia doakan untuk menjadi ibu mertuanya satu hari nanti. Tapi apakan daya, suratan takdir telah menentukan segalanya.

"Dia duduk sorang je kat rumah tu?"

Pertanyaan dari Tuan Naz makin membuatkan Ilya Nasuha menjadi tidak keruan. Namun dia cuba untuk berfikiran positif. Mungkin tuannya cuma hanya hendak berbasa-basi dengannya? Rumah Aunty Sherlina juga sudah lama kosong tidak berpenghuni, mungkin Tuan Naz bertanya untuk menyewa? Mungkin boleh jadi, bukan?

DIA SI PEMBEKU CINTA : CWhere stories live. Discover now