DSPC : 62

20.4K 1.2K 63
                                    

Sepasang anak mata hazel itu akhirnya terikat dengan selembar kain tuala hitam. Pandangannya itu yang sedari tadi disimbahi dengan warna-warni sang pelangi sudah bertukar gelap gelita dan kelam tidak bewarna. Bayangan sosok tubuh Ilya Nasuha juga turut sama hilang dari pandangan matanya. Persekitaran sekeliling sudah tidak diketahuinya lagi.

Kemanakah dirinya ini akan dibawa pergi oleh abang fasilitator itu? Hatinya mula berdebar gugup. Dia tidak mahu lelaki lain yang menjumpai jiwanya itu terlebih dahulu. Ilya Nasuha punya aku, dan aku sahaja berhak untuk menjumpai dirinya. Bukan Ikram atau mana-mana peserta lelaki lain di dalam kem ini.

Main dalam gelap kau tidak akan tahu apa yang kau rasa, kau tidak akan tahu apa yang kau nampak. Main dalam gelap, kau pasti boleh dapat?

Isyraf Nazran melangkah. Terasa ada tangan yang menariknya agar menjauh dari tempat Ilya Nasuha berada. Dan semakin lama langkah kakinya itu semakin menjauh dari gadis itu. Mampukah dia mencari gadis itu dengan gerak hati sahaja? Seperti apa yang dia katakan pada gadis itu sebentar tadi? Namun, sudah pasti gadis itu akan ditempatkan di kawasan lain yang tidak juga diketahuinya.

"Kau pusing 20 kali."

Isyraf Nazran diarahkan supaya berpusing sebanyak 20 kali oleh abang fasilitator itu. Dia pantas sahaja menurut perintah itu. Kini kepalanya terasa pening manakala pemikirannya pula terasa sedikit pusing. Dengan matanya yang diikat sebentar tadi, kepalanya mula terasa berdenyut. Namun, digagahkan jua dirinya untuk menempuh permainan ini.

"Kau duduk dulu. Nanti kau dengar je bunyi wisel, baru kau pergi cari pasangan kau."

"Main dengan jujur. Jangan menipu."

Kemudian, dirinya diarahkan untuk duduk pula bagi menunggu isyarat bunyi wisel. Dia hanya mengangguk faham saat dirinya diberikan amaran oleh abang fasilitator itu. Jika dia main tipu, tidak seronoklah acara ini dimainkannya. Dia juga ingin mencabar dirinya untuk bermain acara itu.

Sedang dirinya setia menunggu, terasa seperti ada sesuatu benda lembut elok menampar bahunya. Mengapa benda yang elok menampar dirinya itu terasa seperti dedaun pokok sahaja? Tidak mungkin abang fasilitator tadi menempatkan dirinya di dalam hutan?

"Apa yang dok tampar aku ni?"

"Daun pokok je kan?"

"Kalau Cik Ponti, memang aku ajak dia bertomoi tengah-tengah hutan ni."

Dia cuba menyedapkan diri untuk tidak terlalu berfikir mengenai hal itu. Lama-kelamaan dia semakin bosan. Jika dia tertidur pun tidak mengapa kerana abang dan kakak fasilitator bukan nampak dan mereka juga bukan mengambil peduli akan dirinya tika ini. Para peserta acara ini juga sedang sibuk dengan diri masing-masing dan bertekad untuk mencari pasangan mereka. Tapi kalau dirinya sudah sedap bantai lena, macam mana pula dengan cek mek molek itu?

"Prittttt."

Bunyi wisel kedengaran kuat.

Arahan yang diberi sebentar tadi, apabila bunyi tiupan wisel kedengaran, peserta akan serta-merta mencari pasangan masing-masing. Isyraf Nazran bangkit namun kakinya terasa lemah. Fuh, rasa macam baru lepas togak arak kalau melihat dari caranya berjalan yang sudah terhuyang-hayang dan menunggu masa untuk tumbang. Kini, dia hanya bergantung pada nalurinya semata-mata. Moga nalurinya tepat kali ini.

'Mampu ke aku?'

Ilya Nasuha hanya mematungkan diri. Sudahlah dirinya ditempatkan di dalam hutan berdekatan dengan semak samun, boleh pula dirinya itu ditinggalkan berseorangan diri tanpa sesiapa di sisi. Kalau bukan disebabkan oleh kegarangan kakak fasilitator itu yang seperti ular sawa hendak menelan orang, sudah pasti dia meninju kakak itu berkali-kali.

DIA SI PEMBEKU CINTA : CWhere stories live. Discover now