DSPC : 88

27.1K 1.3K 27
                                    

Pacuan empat roda mewah yang dipandu oleh Isyraf Nazran laju membelah lebuh raya. Suasana yang sedikit lengang tanpa kenderaan itu membuatkan dua pasangan itu sedikit sepi. Hanya deruan penghawa dingin dan kehangatan radio menjadi peneman sisinya. Lebuh raya yang terbentang luas di hadapan mata menjadi fokus utamanya, namun sesekali dikerling Ilya Nasuha yang sedang terlentok lena. Gadis itu bagai tiada tanda-tanda mahu bangun dari lenanya yang indah.

"Sayang... bangun."

Dipanggilnya. Namun gadis itu sedikit pun tidak berkutik dan masih setia bersama lenanya.

"Sayang...."

Panggilan sayang itu sungguh mendayu sekali sebutannya. Suara serak basahnya itu membuatkan ia kedengaran seksi dan menggoda sekali. Namun, panggilan itu sedikit pun tidak membuatkan Ilya Nasuha terjaga malah sepertinya suara lelaki itu menjadi alunan indah di halwa telinganya.

Melihatkan tingkah gadis itu yang masih liat dengan lenanya, senyum sinis pantas mekar di bibir Isyraf Nazran. Agenda jahat mula bermain di kepalanya bagi mengenakan gadis itu.

"Ilya bangun, ada polis ni. Pakai tali pinggang cepat!" Dia terus menjerit sekuat hati. Dirinya juga sengaja dibuat-buat gelabah seperti sedang ada polis di hadapan mereka.

Mata bundar itu pantas sahaja terbuka luas. Tanpa sempat berfikir apa-apa, Ilya Nasuha terus mencapai tali pinggang yang sedang elok melilit kemas di tubuhnya. Tali pinggang itu disentaknya dengan kuat namun tidak bergerak malah seperti tersekat. Mukanya sudah berkerut seribu.

'Rosak ke tali pinggang ni?'

'Kenapa dah tarik tapi tersekat je?'

'Kang kalau kena rentap, tak pasal-pasal dengan pintu kereta Isy ni tercabut pulak.'

Serta-merta tawa Isyraf Nazran pecah disisa dengan senyuman di bibirnya saat melihatkan keletah gadis itu. Hatinya terus sahaja digeletek dengan rasa lucu yang melampau tak terkira. Reti pun nak bangun Ilya sayang ni, ingat nak terus mati syahid sampai ke Kedah.

Ilya Nasuha terus mengerling tajam Isyraf Nazran yang masih setia memandu itu. Dia berpaling dengan muka yang berkerut. Akibat gelabah yang melampau, habis tudung yang dipakainya itu sedikit senget. Tudung itu segera diperbetulkannya sambil matanya ditenyeh beberapa kali tanda kantuk yang masih tersisa.

"Sayang.. kau dah pakai tali pinggang tu. Yang pergi tarik macam nak putus dah kenapa?"

Ilya Nasuha diam. Pandangannya kembali menyorot pada tali pinggang yang terlilit di tubunya lantas sengihan terus melebar di bibirnya. Malu akan sikap alpa yang mengundang tawa lelaki itu. Malu dengan kebodohan yang sangat ketara di hadapan lelaki yang amat dicintainya. Dia kembali membetulkan duduk dan pandangannya hanya tertumpu pada lebuh raya itu.

"Mana polis?"

"Tak nampak pun polis?"

"Ke kita dah lepas polis tu?"

"Polis buat roadblock ke?" Tanyanya lembap.

Pandangannya sudah melilau ke kiri dan ke kanan bagi memerhati sekeliling. Namun hampa, mengapa kelibat abang polis atau mungkin juga kereta polis yang dimaksudkan oleh lelaki itu sebentar tadi tiada di mana-mana? Adakah mereka berdua sudah melepasinya sewaktu dia sedang gelabah sebentar tadi?

Sekali lagi lelaki itu tertawa, namun kali ini lebih kuat dari yang sebelumnya.

"Kenapa ketawa?" Tanyanya naif. Mata bundarnya itu masih setia mencari kelibat polis yang diutarakan oleh Isyraf Nazran sebentar tadi.

Jari jemari Isyraf Nazran lantas mengelap tubir matanya yang sudah berair. Perutnya yang terasa perit akibat terlampau ketawa itu diusapnya perlahan. Pandangan gadis itu yang masih setia terarah pada lebuh raya terus dihalang menggunakan tapak tangan sasanya.

DIA SI PEMBEKU CINTA : CWhere stories live. Discover now