C22

1.9K 282 70
                                    

SEMENTARA menunggu pesanan sampai, Halwa minta diri untuk ke tandas. Katanya sudah tidak mampu tahan diri lagi daripada melangsaikan hajat alam. Tidak sempat pun Nufa mahu tawar diri teman, Halwa dah lesap dahulu. Tinggal Nufa dan Nadhif sahaja di meja makan.

Terkelip-kelip mata Nufa, entah memandang ke mana. Nak cari Halwa? Dah hilang dari pandangan mata dah. Pasrah, akhirnya Nufa betulkan juga duduk di kerusi. Mata buat tak pandang Nadhif.

Tak selesa. Telefon pintar dikeluarkan. Kita buat-buat sibuk aje lah.

Melihat Nufa yang masam mencuka pandang skrin telefon, Nadhif julingkan mata. Mula dah rasa jengkel itu hadir. Tengok muka masam dia tu. Siapa aje yang tak jengkel?

Menggeleng kecil, Nadhif buang pandang kepada persekitaran sekeliling. Kedai makan ini masih meriah walaupun hari sudah lewat.

Melilau mata, dan akhirnya jatuh juga pandangan kepada Nufa, gadis berwajah masam di hadapannya. Tapi sekejap. Nadhif telan liur. Terkelip-kelip matanya pandang Nufa yang jelas sudah melengkung manis bibirnya.

Daripada rasa cemas melihat senyuman itu, Nadhif dapati untuk minit seterusnya badan seperti sudah relaks. Sampai bersandar peluk tubuh Nadhif di kerusi. Mata tetap terarah kepada Nufa. Nufa tidak sedar. Apa yang seronok sangat di skrin telefon tu pun, Nadhif tidak tahu. Sampai nak tembus ditenung pun, Nufa masih sibuk dengan telefonnya. Dan pastinya, lengkungan di bibir gadis itu menjadi semakin lebar. 

Seperti Nufa yang tidak sedar, Nadhif juga tidak sedar yang bibirnya juga ikut sama menarik lengkungan kecil. Namun, bila dengar tawa kecil Nufa, Nadhif terus tersentak. Duduk jadi tidak selesa. 

Wajah dipalingkan daripada terus memandang Nufa. Tangan dah sibuk usap leher sendiri. Kenapa pula rasa bulu tengkuk meremang semacam pula.

'Apa benda kau buat, Nadhif?' Bisik hati Nadhif sendiri. Wajah diraup beberapa kali bila teringat perlakuan lepas sebentar tadi.

Tawa kecil Nufa terlepas lagi, buat Nadhif kembali menoleh melihat gadis itu. Badan dah merapat ke meja sambil mata mencuri lihat skrin telefon Nufa. Apa yang tertayang sampai seronok sangat tu?

"Tadi nak menangis. Sekarang boleh pula gelak-gelak macam orang tak betul." Perlahan suara Nadhif mengutuk, namun jelas sampai ke telinga Nufa. Terus terangkat wajah Nufa dan Nadhif dipandang dengan riak yang jelas tunjuk gadis itu menyampah.

Nadhif senyum sinis.

"Suka hati aku lah aku nak menangis tadi ke, gelak sekarang ke. Ada bawa masalah ke pada kau?" Soal Nufa bengang. Mood mahu melayan video kelakar di Instagram dah terpadam. Tahniah diucapkan kepada Nadhif Hamza.

Bahu dijongket perlahan. "Tak." Dan soalan Nufa dibalas sepatah. 

Melihat gaya acuh tak acuh Nadhif, Nufa julingkan mata. Menyampah sungguh dia dengan lelaki yang seorang ini. Telefon disimpan dalam beg sebelum mata melilau memandang ruang restoran. Sambil itu, berdoa dalam hati supaya Halwa cepat kembali dari tandas. Boleh sesak dia jika berlama lagi dengan Nadhif.

Melihat Nufa yang sudah diam seribu bahasa, Nadhif curi lihat wajah gadis itu. Mak aih! Masam dia kalah lemon! Peluang diam itu Nadhif ambil. Ditiliknya Nufa dalam diam. Kepala pula sibuk berfikir tentang Nufa dan lelaki tadi. 

Ikut kata Nufa tadi, mereka sudah tiada apa-apa hubungan lagi. Tapi, ikut gaya nampaknya si bekas kekasih seperti belum boleh terima hubungan yang sudah berakhir setengah jalan ini. Lagipula, Nadhif sendiri tidak faham. Lelaki itu yang curang, namun sibuk pula sekarang menagih perhatian dan kasih gadis ini kembali.

"Aneh." Komen Nadhif dan komen itu berjaya menarik perhatian Nufa.

Mata dah melekat pada wajah tanpa riak Nadhif. 

C | 𝐂𝐔𝐏𝐈𝐃Where stories live. Discover now