C55

1.9K 267 98
                                    

PINTU kereta ditutup kuat. Tak peduli dengan perasan si pemilik kereta. Yang Nufa tahu, yang Nufa mahu peduli sekarang adalah perasaan geramnya yang menggunung tinggi kepada Nadhif. Bila lelaki itu selamat labuhkan duduk di kerusi, terus tajam pandangan matanya kepada lelaki itu.

Nadhif perasan, namun Nadhif hanya beriak tenang sahaja. Hanya kepala sahaja yang menggeleng kecil mengingatkan kembali bagaimana kuatnya Nufa hempas pintu kereta tadi. Bergetar juga jantung ini. Tapi tak mengapa. Nadhif cool, Nadhif tak marah. Cuma geram sikit aje.

"Kau ni kan!" Ketenangan Nadhif benar-benar menguji kesabaran Nufa.

Nadhif pandang Nufa sekilas sebelum dia tarik tali pinggang keledar. Tanpa melayan Nufa lagi, enjin dihidupkan. Sesudah itu, baru lah Nufa dipandang. Itu pun semacam malas mahu melayan.

"Apa ni? Kenapa marah-marah ni?" Tanya Nadhif selamba. Nufa dipandang atas bawah, atas bawah. Dia pula yang tak puas hati dengan rasa marah dan geram Nufa kini.

Nufa kemam bibir. Nufa pejam mata. Nufa kepalkan penumbuk. Nafas dah kedengaran sedikit kasar. Sumpah, Nufa berada di puncak kegeraman. Rasa macam nak ceki-ceki sahaja Nadhif. Macam mana lelaki ini boleh seselamba ini? Bila selamba, selamba sangat. Bila poyo, poyo sangat juga!

"Eeeee!!!" Tak hirau apa reaksi Nadhif, Nufa terus menjerit melepaskan rasa geram yang terbuku. Kuat dan nyaring!

Terkejut terus Nadhif di tempat. Tak jadi dia mahu memandu pergi. Bahkan, dia kaku dan Nufa yang sedang menjerit itu dipandang tidak berkelip. Dan bila jelingan tajam yang diterima selepas jeritan berhenti, buat Nadhif telan liur sendiri.

"Aku geram ni!" Nufa memberitahu. Cross-body bag dah digenggam penuh perasaan.

Nadhif tarik nafas sebelum dia melepaskan nafas perlahan-lahan. Tanpa kata, botol mineral diambil dan dibuka. Kemudian, diserahkan botol itu kepada Nufa.

"Minum."

"Tak nak! Nak marah!" Nufa angkat penumbuk.

Nadhif mengangguk sekali tanda dia mengerti.

"Ya, tahu. Minum dulu, lepas tu baru kita sambung marah." Tenang sahaja Nadhif tutur kata.

Jeling tajam kepada Nadhif lima saat, botol dirampas kemudiannya. Air digogok sehingga habis separuh botol. Bila sudah habis, selamba dia berikan semula kepada Nadhif. Itu pun bila sudah rasa tenang sedikit.

Nadhif kerling Nufa. Botol diambil dan disimpan jauh-jauh. Risau pula kalau itu yang dibaling Nufa kepadanya untuk lepaskan geram. Nampak aje perempuan ini lembut, tapi sebenarnya... singa jadian!

Diam antara mereka dan Nadhif ambil peluang itu untuk mulakan pemanduan. Antara takut dan malas, Nadhif lebih malas untuk menegur Nufa. Biarkan gadis itu tenangkan diri betul-betul dahulu. Jika tidak, setiap satu patah kata yang dia ucapkan takkan diterima dengan rasional.

Nufa jeling Nadhif. Lihat lelaki itu tenang sahaja.

"Woi." Nufa menegur dahulu.

Sekilas Nadhif pandang. "Dah habis dah geram? Kalau belum habis, aku berhenti untuk kau ambil wudhu' pula. Tak hilang lagi, pergi mandi kat mana-mana surau."

Tahan nafas Nufa dengar kara-kata Nadhif. Makin bikin dia geram lagi ada lah! Tak guna betul mamat seorang ini!

"Kenapa kau cakap macam tu tadi?" Soal Nufa. Tenang cuba dicari.

"Yang mana satu?" Soalan Nadhif balas dengan soalan juga.

Tangan Nufa naik menggenggam penumbuk. Kumpul geram di situ.

"Pasal kau husband aku. Kau ingat Mifzal nak percaya ke?"

Nadhif jongket bahu sekali sebagai jawapan. Difokuskan tumpuan hanya kepada pemanduan. Tak mahu sangat layan rasa geram Nufa.

C | 𝐂𝐔𝐏𝐈𝐃Where stories live. Discover now